Hafizuddin terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pada Isnin malam.
TANGAN kanan atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin terpaksa dipotong susulan kecederaan yang dialami dalam kemalangan jalan raya.Menurut Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, pembedahan itu mengambil masa hampir tujuh jam dan hanya selesai kira-kira 8.40 malam, Selasa. "Setakat pagi ini (Rabu), kami belum mendapat maklumat sama ada dia sudah dipindahkan ke wad biasa atau belum kerana masih di bawah kesan bius."Setakat selepas 4.30 pagi tadi, dia masih belum sedar dan mungkin akan mengambil sedikit masa, berkemungkinan pada pagi ini (untuk sedar)," ujarnya.Selain memohon doa dan sokongan ramai, Ayub turut menggesa agar semua pihak memberi ruang dan menghormati privasi Hafizuddin serta keluarganya buat masa ini."Saya ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga sukan, agar bersama-sama menitipkan doa buat Hafizuddin serta memberikan sokongan dan semangat kepada beliau dan keluarganya dalam menghadapi dugaan ini."Saya turut berharap agar semua pihak memberikan ruang dan menghormati privasi Hafizuddin serta keluarganya sepanjang tempoh rawatan dan pemulihannya,"ujar Ayub menerusi hantaran di Facebook.Terdahulu, Majlis Sukan Negeri Perlis mengesahkan atlet berusia 22 tahun yang mesra disapa Udin itu ditidurkan bagi membolehkan pihak hospital meneruskan rawatan intensif.Hafizuddin dipercayai terbabas ketika dalam perjalanan dari Ampang menuju ke Bukit Jalil."Pemeriksaan mendapati dia mengalami kecederaan patah tulang tangan kanan serta komplikasi serius apabila salur darah pada bahagian tersebut tidak lagi berfungsi. "Dia turut mengalami kecederaan kecil pada bahagian kepala. Buat Udin, seluruh warga sukan Negeri Perlis sentiasa bersama dan mendoakan yang terbaik buatmu. Terus kuat, Udin," menurut kenyataan itu.Media sebelum ini melaporkan Hafizuddin terlibat dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pada Isnin malam.Dalam kejadian kira-kira pukul 11.28 malam itu, Hafizuddin dipercayai terbabas ketika dalam perjalanan dari Ampang menuju ke Bukit Jalil.Hafizuddin merupakan antara atlet Malaysia yang meraih pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow pada Julai lalu apabila muncul juara dalam kategori 88kg lelaki.Dia berjaya meraih pingat emas menerusi angkatan keseluruhan seberat 345kg, sekali gus mencipta rekod baharu Sukan Komanwel.