Keadaan van polis yang dinaiki 11 anggota remuk selepas terbabas merempuh pembahagi jalan di Kilometer 352 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan.
PERJALANAN 11 anggota polis berakhir tragedi selepas van dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh penghadang besi di Kilometer 352 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat Sungkai, Perak, pada Selasa.Dalam kejadian kira-kira pukul 11.35 pagi itu, seorang anggota polis maut, manakala empat lagi parah. Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati van jenis Maxus yang dipandu seorang anggota polis bersama 10 penumpang sedang dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menuju ke Melaka. "Apabila tiba di lokasi kejadian, tayar belakang sebelah kiri van tersebut dipercayai pecah secara tiba-tiba sehingga menyebabkan kenderaan berkenaan hilang kawalan sebelum melanggar penghadang besi di bahagian tengah lebuh raya," katanya dalam kenyataan.Ujarnnya, impak perlanggaran tersebut menyebabkan beberapa orang penumpang tercampak keluar dari kenderaan."Seorang penumpang meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat orang mangsa mengalami kecederaan parah dan telah dibawa ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan lanjut."Enam lagi mangsa mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke Hospital Tapah," ujarnya. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-401 1222 atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp Muhammad Najmuddin Zulkarnain di talian 017-3256140.Dalam perkembangan yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Shahrul Aliff Yaacob, anggota yang terkorban dalam kemalangan berkenaan. Perdana Menteri berkata, beliau mengarahkan Setiausaha Politiknya, Kamil Munim untuk menyampaikan sumbangan dan menghulurkan bantuan segera kepada waris Allahyarham dan anggota polis lain yang terbabit dalam kejadian itu.Terdahulu, video di lokasi kejadian yang dirakam pengguna jalan raya lain, tular di laman sosial.Menerusi rakaman yang tular, kelihatan beberapa anggota terbaring dalam keadaan berlumuran darah dengan orang awam memberikan bantuan awal sebelum ketibaan paramedik.