, SEORANG pelajar maut manakala dua lagi cedera parah selepas terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolah gara-gara penghadang besi di bahagian koridor tercabut.Kejadian berlaku di Sekolah Menengah Pertama (SMP) Al-Madina, Wonosobo, Indonesia, pada Isnin. Menurut Ketua Polis Wonosobo, AKBP Ricky Pripurna Atmaja, insiden itu turut menyebabkan tiga lagi pelajar mengalami kecederaan ringan selepas kesemua enam mangsa terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolah berkenaan.Ricky berkata, pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada kedua-dua mangsa yang parah mengalami patah tulang kerana masih menunggu keputusan pemeriksaan lanjut.Mengulas lanjut mengenai kejadian, Ricky berkata insiden berlaku kira-kira pukul 10.59 pagi Isnin ketika sekumpulan pelajar sedang menyaksikan aktiviti kokurikulum pengakap di kawasan halaman sekolah.Ketika itu, beberapa pelajar dipercayai sedang bersandar pada pagar besi di tingkat dua sebelum struktur berkenaan tiba-tiba runtuh.Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pagar besi itu tidak mampu menampung beban pelajar yang bersandar padanya sebelum tercabut.Ricky bagaimanapun berkata, pihaknya masih belum dapat membuat kesimpulan mengenai punca sebenar kejadian, termasuk kemungkinan struktur bangunan berkenaan tidak kukuh.Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti faktor yang menyebabkan pagar besi itu tercabut. -Agensi