SEORANG remaja lelaki yang dipercayai ditinggalkan bersendirian oleh ibu angkatnya selama hampir sebulan diselamatkan bersama 34 haiwan peliharaan dalam sebuah rumah terbiar.Kejadian dilaporkan berlaku di Taytay, Rizal, Filipina. Menurut laporan media tempatan, pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan pada 10 November lalu selepas mendapat maklumat mengenai bau busuk dari rumah sewa berkenaan.Pemeriksaan mendapati keadaan dalam rumah tersebut sangat kotor dengan dinding, lantai serta barangan dipenuhi najis.Lebih menyedihkan, pihak berkuasa turut menemukan puluhan anjing dan kucing dalam keadaan tidak terurus.Ketika pemeriksaan dijalankan, seorang budak lelaki dilihat mengintai dari belakang pintu sebelum segera menutupnya semula kerana dipercayai tidak biasa dengan cahaya terang."Kami terpaksa menghidu bau najis anjing. Seorang budak mengintai dari pintu dan kelihatan seperti silau dengan cahaya," kata Mary Ann de Vera, pegawai bagi program Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-kanak (VAWC) di kawasan berkenaan.Sementara itu, ahli majlis Barangay, Janna Dazo menyifatkan keadaan fizikal remaja terbabit sebagai kurus dengan rambut yang sangat panjang.Menurutnya, remaja itu memberitahu pihak berkuasa bahawa ibu angkatnya yang berusia 48 tahun kali terakhir mengunjunginya pada Oktober lalu.Difahamkan, remaja terbabit kini ditempatkan di bawah jagaan Pejabat Kebajikan Sosial dan Pembangunan Perbandaran Taytay.Pihak berkuasa turut memfailkan aduan terhadap ibu angkatnya atas dakwaan melanggar Akta Republik 7610 atau Akta Perlindungan Khas Kanak-kanak Daripada Penderaan, Eksploitasi dan Diskriminasi.Dalam perkembangan sama, Persatuan Kebajikan Haiwan Filipina (PAWS) memaklumkan pihaknya mengambil alih penjagaan 29 anjing dan lima kucing yang ditemukan di rumah berkenaan.PAWS juga merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik haiwan terbabit, yang merupakan ibu angkat kepada remaja berkenaan, atas dakwaan melanggar Akta Kebajikan Haiwan Filipina. -Agensi