SEORANG ibu di Kelantan bersetuju mendermakan organ anak lelakinya yang berusia 23 tahun selepas pemuda itu disahkan mengalami mati otak susulan kemalangan motosikal.Che Sharifah Che Mat Soud, 63, berkata walaupun anak bongsunya, Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, tidak pernah mendaftar secara rasmi sebagai penderma organ, keluarga mengambil keputusan untuk meneruskan hasrat itu selepas mengetahui arwah pernah menyatakan minat untuk berbuat demikian. "Kami diberitahu kes seperti ini berlaku satu dalam 20,000 kes, jadi kami menerima ketentuan ini dan bersetuju untuk mendermakan organnya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Padang Tembak, Kelantan, pada Khamis.Dia berkata, doktor memaklumkan terdapat beberapa pesakit yang sedang menunggu pemindahan organ dengan kadar segera, termasuk seorang bayi berusia 11 bulan yang memerlukan buah pinggang."Kami berharap mungkin organ anak saya dapat membantu bayi berkenaan," katanya.Menurut Che Sharifah, pakar perubatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menjelaskan walaupun Aidil mengalami mati otak akibat kemalangan itu, organ dalamannya masih berada dalam keadaan sihat dan sesuai untuk didermakan.Pendermaan organ mampu memberi peluang kedua kepada insan lain untuk meneruskan kehidupan. -Gambar hiasan AIPasukan perubatan turut memberikan ruang kepada keluarga untuk membuat pertimbangan tanpa sebarang tekanan sebelum mereka sebulat suara bersetuju mendermakan semua organ dan tisu yang sesuai, kecuali kulitnya."Dia seorang yang memang suka memberi kepada orang lain, jadi kami fikir, mengapa tidak biarkan organnya membantu mereka yang memerlukan?"Doktor memberitahu organ anak saya berada dalam keadaan sangat baik kerana usianya masih muda, menjaga pemakanan dan kesihatan serta tidak merokok," katanya.Dia berharap sumbangan organ itu menjadi amal jariah yang berkekalan buat Aidil, anak bongsu daripada empat beradik yang merupakan graduan Diploma Pengurusan Pentadbiran dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang.Mengenang detik terakhir bersama anaknya, Che Sharifah berkata Aidil yang bekerja di sebuah kafe di Kota Bharu baru sahaja membeli burger untuk dia dan suaminya, Ahmad Zupardi Embong, 63, sebelum keluar menunggang motosikal untuk bertemu seorang rakan."Dia memang anak yang baik. Setiap kali keluar, dia akan bersalaman dan mencium tangan saya. Saya pula akan berpesan supaya menunggang motosikal dengan berhati-hati," katanya sambil menangis."Saya masih terngiang-ngiang bunyi motosikalnya yang semakin menjauh apabila salah seorang rakannya datang tergesa-gesa memberitahu bahawa dia terbabit dalam kemalangan. Saya belum pun habis makan burger yang dibelinya," katanya.Che Sharifah menyifatkan Aidil sebagai seorang pemuda yang pendiam, menghormati orang tua dan tidak pernah berkira untuk membantu keluarga.Jenazah Allahyarham dijadualkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Puteri, Panchor selepas solat Zohor pada Khamis. -The Star