BUKAN semua orang mempunyai kemampuan untuk menyimpan wang setiap bulan, lebih-lebih lagi apabila berdepan peningkatan kos sara hidup dan komitmen kewangan yang semakin bertambah.Namun, keadaan itu bukan bermakna seseorang tidak mampu membina simpanan sekiranya bijak mengurus pendapatan dan perbelanjaan. Pakar kewangan, Dr Adam Zubir berkongsi langkah yang boleh dilakukan bagi membantu individu memperbaiki kedudukan kewangan masing-masing, sekali gus membina tabungan untuk masa depan.Menerusi perkongsian [Tonton Video], beliau berkata langkah pertama adalah meningkatkan pendapatan, sama ada dengan mendapatkan kenaikan gaji atau mencari pekerjaan yang menawarkan pendapatan lebih baik.Menurutnya, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk meningkatkan pendapatan, antaranya:1. Tingkatkan kemahiran diri- Tambah pengetahuan dan kemahiran supaya mempunyai nilai lebih tinggi dalam pasaran pekerjaan serta berpeluang menuntut gaji lebih baik.2. Cari pekerjaan dengan tawaran gaji lebih tinggi- Pertimbangkan peluang pekerjaan lain yang menawarkan pendapatan lebih setimpal dengan kelayakan dan pengalaman.3. Belajar berunding mengenai gaji- Kuasai kemahiran rundingan bagi mendapatkan kadar gaji yang bersesuaian dengan tanggungjawab dan kemampuan diri.Katanya, peningkatan pendapatan penting bagi membantu seseorang menghadapi kenaikan kos sara hidup yang berlaku setiap tahun.Langkah kedua pula adalah membina lebih daripada satu sumber pendapatan dan tidak hanya bergantung kepada gaji daripada pekerjaan hakiki.Menurut Dr Adam, terdapat pelbagai peluang untuk menjana pendapatan tambahan tanpa semestinya mengganggu waktu bekerja.Antaranya termasuk:- Meneroka peluang menjana pendapatan sampingan.- Mencari sumber pendapatan berbeza selain pekerjaan hakiki.- Mempertimbangkan pelaburan dalam pasaran saham sebagai salah satu pilihan menjana pendapatan tambahan.Berbelanja mengikut kemampuan dapat mengelak masalah kewangan. -Gambar hiasan AIBagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai supaya mempelajari selok-belok pelaburan dan memahami risiko yang terlibat sebelum membuat sebarang keputusan.Sementara itu, langkah ketiga adalah mengurangkan perbelanjaan, namun ia tidak bermaksud seseorang perlu berhenti menikmati kehidupan atau mengetepikan semua kehendak peribadi.Sebaliknya, beliau menyarankan orang ramai supaya lebih bijak menguruskan wang dengan mengamalkan sistem tiga akaun bank yang turut dipraktikkannya sendiri.Menerusi kaedah itu, pendapatan yang diterima akan dibahagikan kepada tiga akaun berasingan mengikut tujuan penggunaannya.1. Akaun keperluan- Akaun ini digunakan untuk membayar komitmen dan perbelanjaan wajib seperti bil utiliti, makanan, pengangkutan serta keperluan harian.2. Akaun kemahuan- Akaun ini dikhaskan untuk perbelanjaan peribadi atau perkara yang diinginkan seperti hiburan, membeli-belah dan aktiviti riadah.3. Akaun simpanan- Wang yang diperuntukkan untuk simpanan perlu diasingkan daripada akaun lain dan tidak digunakan sewenang-wenangnya bagi menampung perbelanjaan harian."Jadi, apabila duit anda masuk, agihkan kepada bank keperluan, bank kemahuan dan bank simpanan."Bank simpanan, jangan usik langsung. Bank keperluan, guna untuk bayar barang-barang keperluan. Bank kemahuan ini adalah bank untuk anda belanjakan," katanya.Melalui kaedah itu, seseorang dapat mengetahui jumlah wang yang boleh dibelanjakan tanpa mengganggu peruntukan untuk simpanan.Dalam pada itu, Dr Adam turut menggalakkan orang ramai meningkatkan pengetahuan mengenai pengurusan kewangan dan pelaburan, selain tidak perlu menunggu sehingga mempunyai modal besar untuk mula belajar.Menurutnya, perkara paling penting adalah mengambil langkah pertama dengan kemampuan sedia ada, di samping memahami cara mengurus wang dan mengawal risiko kerugian.Jelasnya, matlamat pengurusan kewangan bukan sekadar mengumpul simpanan, sebaliknya mengetahui cara terbaik mengurus dan mengembangkan wang menerusi pelaburan dengan mengambil kira risiko yang terlibat.