KEPULAN asap hitam dan api yang menjulang tinggi pada awal pagi Jumaat mengundang kerisauan penduduk sekitar ibu negara. Berkongsi gambar dan video daripada tempat tinggal di aras tinggi, seorang pengguna Threads meluahkan rasa terkejut menyaksikan insiden berkenaan."Bangun pagi terkejut tengok ada kebakaran teruk, dah ada bomba ke belum tu?"Nak tolong hubungi pun tak tahu kat mana yang terbakar, harap semuanya okey dan selamat," luahnya.Dalam pada itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.53 pagi.Menurutnya, kebakaran berlaku di sebuah gudang kereta potong di Jalan Utusan, berhampiran Jalan Chan Sow Lin, Cheras. Kebakaran berjaya dipadam sekitar pukul 7 pagi. -Foto JBPM Kuala LumpurHasil pemeriksaan, gudang tersebut musnah kira-kira 90 peratus akibat kebakaran."Keluasan kawasan kebakaran dianggarkan 70 x 150 kaki dengan tahap kemusnahan dianggarkan sebanyak 90 peratus.“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 7.03 pagi," menurut kenyataan itu.Operasi pemadaman dijalankan secara ofensif dan defensif dari keempat-empat sisi bangunan bagi mengawal kebakaran.Pasukan bomba turut melaksanakan tindakan pembendungan api bagi mengelakkan kebakaran merebak ke bangunan berhampiran.Seramai 75 anggota bomba terbabit dalam operasi berkenaan dengan bantuan pelbagai jentera termasuk enam jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan tiga jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS).Turut digerakkan ialah dua lori tangki air, tiga jentera Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dan sebuah jentera Aerial Ladder Platform (ALP).Tiada mangsa dilaporkan terbabit setakat ini, manakala kerja pemadaman masih diteruskan setakat laporan ini dikeluarkan.