suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

“Hari ini datang berjumpa dengan cara berbeza” - Chong Wei titip ucapan sayu, masih terasa kehilangan Tun Dr Siti Hasmah

Chong Wei bersama isterinya, Wong Mew Choo, menziarahi pusara Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah pada Khamis. -Foto FB Lee Chong Wei

LEGENDA badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei menzahirkan ucapan penuh sayu selepas menziarahi pusara Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang meninggal dunia pada Isnin lalu.

Chong Wei bersama isterinya, bekas pemain badminton negara, Datin Seri Wong Mew Choo, menziarahi pusara Allahyarham selepas pulang daripada menghadiri Sukan Asia Aichi-Nagoya di Jepun. 

Menerusi perkongsian di media sosial, Chong Wei berkata pemergian Siti Hasmah masih dirasai, apatah lagi selepas begitu banyak kenangan tercipta sepanjang perjalanan hidup dan kariernya.

Menurut Chong Wei, Allahyarham bukan sekadar individu yang sentiasa memberikan sokongan kepada arena badminton negara, malah seorang insan yang sangat baik dan dekat di hati mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun Siti Hasmah meninggal dunia

"Banyak sangat kenangan bersama Tun sepanjang perjalanan hidup dan karier saya, on court off court. 

"Tun bukan sekadar seorang yang sentiasa menyokong badminton Malaysia, tetapi seorang insan yang sangat baik dan dekat di hati kami," katanya.

Chong Wei turut mengenang sikap Allahyarham yang sentiasa menyambutnya dengan senyuman serta kata-kata semangat setiap kali mereka bertemu.

Namun, kunjungan terbaharunya ke pusara Allahyarham hadir dalam suasana yang cukup berbeza.

"Dulu bila berjumpa, Tun mesti ada senyuman dan kata-kata semangat untuk saya. Hari ini datang berjumpa Tun dengan cara yang berbeza," luahnya lagi.

Mengakui berat untuk menerima kehilangan tersebut, Chong Wei berkata dia tetap bersyukur kerana pernah mengenali dan menerima begitu banyak kasih sayang daripada Siti Hasmah. 

​"Semoga Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. 

"Jasa dan kasih sayang Tun akan sentiasa kami kenang. Al-Fatihah," akhirinya.

Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.20 pagi, Isnin lalu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada usia 100 tahun.

Artikel Lain