suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Gaji sampai RM17,000 sebulan! Lebih 8,000 peluang kerja menanti graduan, pencari kerja di National Graduate Career Fair 2026

National Graduate Career Fair 2026 menawarkan gaji melebihi RM3,000 sebulan

LEBIH 8,000 peluang pekerjaan menanti graduan dan pencari kerja menerusi National Graduate Career Fair 2026 yang bakal berlangsung pada 3 dan 4 Oktober ini.

Menghimpunkan 200 majikan, karnival kerjaya berskala nasional itu akan diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), bermula pukul 9 pagi hingga 4.30 petang.

Lebih menarik, sebanyak 52.91 peratus daripada keseluruhan kekosongan yang ditawarkan menyediakan gaji melebihi RM3,000 sebulan, dengan tawaran bagi jawatan tertentu seperti pengurus IT mencecah RM17,000 sebulan.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam satu kenyataan memaklumkan, antara majikan utama yang mengambil bahagian ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Turut sama menawarkan pekerjaan ialah Malaysia Airports Holdings Berhad, Prasarana Malaysia Berhad dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

“Peluang pekerjaan yang ditawarkan merangkumi pelbagai sektor dan tahap kemahiran, termasuk bidang maklumat dan komunikasi, kewangan, pembuatan, aktiviti profesional, saintifik dan teknikal, pengangkutan dan penyimpanan serta kesihatan dan kerja sosial.

“Apa yang menarik, lebih separuh atau 52.91 peratus daripada keseluruhan kekosongan yang ditawarkan menyediakan gaji melebihi RM3,000 sebulan, termasuk jawatan Eksekutif Akaun dengan gaji bermula sekitar RM3,000, manakala tawaran bagi jawatan tertentu seperti pengurus IT mencecah sehingga RM17,000 sebulan,” menurut kenyataan itu.

Selain menawarkan pekerjaan, karnival tersebut menyediakan ruang kepada graduan untuk bertemu dan berinteraksi secara terus dengan majikan, meneroka bidang kerjaya bersesuaian serta mendapatkan panduan bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Menerusi konsep ‘walk-through career experience’, pengunjung boleh bergerak dari satu majikan ke majikan lain untuk mengenal pasti kekosongan yang sepadan dengan kelayakan masing-masing.

Peserta turut boleh mendapatkan semakan resume profesional dan khidmat kaunseling kerjaya bagi membantu mereka mengenal pasti kekuatan serta memperkemas strategi pencarian kerja.

Pada masa sama, perkhidmatan itu membantu peserta membuat persediaan lebih baik sebelum berhadapan dengan majikan.

“Pendekatan tersebut menjadikan program ini sebagai satu platform yang menghubungkan secara lebih langsung antara bakat yang sedang mencari peluang dengan keperluan sebenar industri, sekali gus membantu mengurangkan jurang antara kelayakan graduan dan permintaan pasaran pekerjaan,” jelas PERKESO.

Penganjuran karnival itu turut mendukung aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dalam memperkukuh pembangunan bakat, meningkatkan kebolehpasaran graduan dan menangani isu ketidakpadanan kemahiran dalam pasaran buruh.

Sehubungan itu, PERKESO menggalakkan graduan dan pencari kerja supaya tidak melepaskan peluang untuk hadir, khususnya mereka yang mahu mendapatkan pekerjaan, meneroka bidang baharu atau mencari pekerjaan lebih sepadan dengan kelayakan dan kemahiran.

“National Graduate Career Fair 2026 bukan sekadar mengenai jumlah kekosongan yang ditawarkan, tetapi usaha mempertemukan graduan dan pencari kerja dengan peluang yang boleh menjadi langkah pertama kepada kerjaya yang lebih kukuh,” menurut kenyataan itu.

Mereka yang berminat boleh membuat pendaftaran dan mendapatkan maklumat lanjut menerusi portal MYFutureJobs di www.myfuturejobs.gov.my/careerfair.

Artikel Lain