Pendaftaran sesebuah parti politik tertakluk kepada pematuhan terhadap perlembagaan dan akta pertubuhan yang berkuat kuasa. -Gambar hiasan
PERIKATAN Nasional (PN) secara rasmi dibatalkan selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mendapati penjelasan yang diberikan gagal menyangkal asas pembatalan seperti yang dinyatakan dalam notis sebelum ini.Menerusi kenyataan pada Selasa, RoS memaklumkan keputusan itu dibuat mengikut subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), setelah meneliti keseluruhan dokumen serta representasi yang dikemukakan PN pada 12 Oktober lalu. Pada 22 September lalu RoS mengeluarkan notis kepada PN di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 bagi membolehkan gabungan itu memberikan penjelasan dan representasi berhubung perkara dibangkitkan."Setelah meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan, Pendaftar Pertubuhan mendapati alasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran sebagaimana dinyatakan dalam notis berkenaan."Ia juga tidak memberikan justifikasi yang kukuh untuk mengekalkan pendaftaran pertubuhan berkenaan,” menurut kenyataan itu.Antara alasan pembatalan yang dinyatakan dalam notis berkenaan ialah pelanggaran Fasal 7.1 Perlembagaan Parti PN apabila gabungan itu menafikan hak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menghadiri dan mengambil bahagian dalam Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai 2026."Dan bahawasanya pendaftar sudah menimbangkan perkara ini dan juga alasan yang dibuat kepadanya oleh pemegang jawatan bagi pertubuhan itu."Pendaftar berpendapat bahawa alasan terbabit tidak menunjukkan sebab yang memuaskan maka diperintahkan pendaftaran pertubuhan yang namanya tersebut di atas dibatalkan mulai dari tarikh perintah," menurut kenyataan itu.