RAMAI yang menanti-nantikan perkhabaran ini, terutamanya mereka yang kerap merentas negeri ke Pantai Timur.Teka-teki mengenai kadar tambang rasmi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akhirnya terjawab apabila kerajaan meluluskan harga bermula RM125 sehala bagi perjalanan dari Gombak, Selangor ke Kota Bharu, Kelantan menjelang pembukaan rasminya pertengahan Disember ini. Bagi laluan ekspres ke destinasi yang sama, tambang bermula dari RM147 sehala menjelang operasi komersial yang disasarkan bermula 12 Disember depan.Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, kerajaan meluluskan cadangan struktur tambang itu pada 16 Oktober lalu berdasarkan mekanisme tambang dinamik.Mekanisme itu membolehkan harga tiket berubah mengikut faktor seperti waktu perjalanan, permintaan dan ketersediaan tempat duduk, sekali gus memberikan fleksibiliti kepada pengguna untuk merancang perjalanan mengikut keperluan serta kemampuan masing-masing.Laluan transit melibatkan perhentian di setiap stesen, manakala laluan ekspres hanya berhenti di empat stesen utama iaitu Gombak, Kota Sultan Ahmad Shah (KOTASAS), Kuala Terengganu dan Kota Bharu.Bagi perjalanan dari Gombak ke Kuala Terengganu, tambang kelas ekonomi bermula RM95 sehala menerusi laluan transit dan RM110 bagi laluan ekspres.ARTIKEl BERKAITAN: Empat stesen ECRL tampil dengan identiti tersendiri... Lambang jejak warisan, nadi negeriSementara itu, perjalanan dari Gombak ke KOTASAS, Pahang ditawarkan pada harga bermula RM60 sehala bagi laluan transit dan RM68 bagi laluan ekspres.Jarak perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu adalah sejauh 523 kilometer, diikuti Kuala Terengganu (378 kilometer) dan KOTASAS (209 kilometer).Kadar tambang yang sama turut terpakai bagi perjalanan pergi dan balik.Dari segi tempoh perjalanan, perkhidmatan ekspres dari Gombak ke Kota Bharu dijadualkan mengambil masa sekitar empat jam berbanding sehingga lima jam bagi laluan transit.Perjalanan ekspres ke Kuala Terengganu pula mengambil masa dua jam 54 minit, berbanding tiga jam 51 minit menerusi laluan transit.Bagi laluan Gombak-KOTASAS, perjalanan ekspres dijangka mengambil masa satu jam 27 minit berbanding dua jam lima minit bagi laluan transit.Dalam usaha memperluas akses kepada pengangkutan awam, jemaah menteri turut meluluskan diskaun 50 peratus kepada kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun, warga emas warganegara Malaysia berusia 60 tahun ke atas, pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) serta pesara kerajaan.Pelajar berusia 13 hingga 24 tahun pula layak menikmati diskaun sebanyak 40 peratus.Penjualan tiket rasmi ECRL dijadualkan bermula pada pertengahan November ini, manakala operasi komersial penumpang bagi laluan Gombak-Kota Bharu disasarkan bermula pada pertengahan Disember.Pada peringkat permulaan, sebanyak 10 set tren Electric Multiple Unit (EMU) akan digunakan dengan kelajuan operasi sehingga 160 kilometer sejam bagi menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.ECRL dijadualkan menyediakan 12 perjalanan sehari dari Isnin hingga Khamis, merangkumi enam perjalanan bagi setiap arah. Kekerapan itu meningkat kepada 16 perjalanan sehari dari Jumaat hingga Ahad, bersamaan lapan perjalanan bagi setiap arah.Secara keseluruhan, kira-kira 2.2 juta tempat duduk dirancang untuk disediakan sepanjang 2027.Kadar tambang bagi destinasi lain pula dijadualkan diumumkan menerusi laman web rasmi ECRL pada pertengahan November ini.