suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Empat stesen ECRL tampil dengan identiti tersendiri... Lambang jejak warisan, nadi negeri

Stesen Kuala Terengganu mengetengahkan warisan maritim menerusi reka bentuk bumbung yang diinspirasikan alunan ombak.

SAMBUTAN Hari Kebangsaan bukan sekadar masa untuk mengingati sejarah kemerdekaan negara, tetapi juga peluang untuk kita melihat semula warisan dan identiti yang membentuk Malaysia.

Menariknya, semangat itu turut dapat dilihat menerusi reka bentuk beberapa stesen utama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang mengangkat keunikan negeri masing-masing.

Daripada seni bina tradisional Kelantan, permatang kuarza di Selangor, simbol gajah di Pahang hinggalah kepada alunan ombak di Terengganu, setiap stesen mempunyai cerita tersendiri diterjemahkan dalam bentuk moden.

Jadi, sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-69, jom lihat empat stesen ECRL yang bukan sahaja menghubungkan destinasi, tetapi turut membawa bersama kisah warisan negeri.

1. Stesen Kota Bharu: Sentuhan moden seni bina Kelantan

Sebagai stesen utama ECRL di Kelantan, Stesen Kota Bharu mengetengahkan tafsiran moden terhadap warisan seni bina negeri itu dengan sentuhan pengaruh seni bina Islam yang halus.

Antara elemen paling menarik ialah pintu gerbang berbentuk lengkungan yang megah, diinspirasikan daripada ciri seni bina tradisional Kelantan dalam sentuhan kontemporari.

Tidak cukup dengan itu, konsep 'Janda Berhias' turut diterapkan pada bahagian luaran bangunan.

Reka bentuk berkenaan turut mengambil kira pencahayaan semula jadi dan pengudaraan yang baik bagi melengkapkan keseluruhan konsep stesen.

Pada masa sama, stesen ini bukan hanya membawa kisah warisan Kelantan, malah dirancang untuk menyokong pembangunan kawasan sekitarnya serta menjadi pemangkin kepada pembangunan berorientasikan transit (TOD).

2. Stesen Gombak: Berinspirasikan keindahan alam Selangor

Kalau melihat bentuk Stesen Terminal Bersepadu Gombak, pasti anda tidak menyangka reka bentuknya mengambil inspirasi daripada satu keajaiban geologi yang menjadi sebahagian landskap di Selangor.

Konsep stesen ini berakar daripada Permatang Kuarza Gombak Selangor, iaitu formasi kuarza sepanjang 14 kilometer di timur laut Kuala Lumpur diiktiraf sebagai antara yang terpanjang dan tertua seumpamanya di dunia.

Keunikan permatang tersebut diterjemahkan melalui garisan bersudut serta bentuk geometri bangunan yang menyerupai batu permata yang dipotong.

Pengaruh kuarza itu turut dapat dilihat pada bahagian luaran stesen menerusi penggunaan kaca berkilauan.

Menariknya, penggunaan kaca tersebut menghasilkan kesan visual yang berbeza bergantung kepada keadaan cuaca dan pencahayaan.

3. Stesen KOTASAS: Menghayati tradisi Diraja Pahang

Beralih ke Pahang pula, reka bentuk Stesen Kota Sultan Ahmad Shah (KOTASAS) berlokasi di Kuantan, menyimpan kaitan rapat dengan tradisi dan adat diraja negeri itu.

Jika diperhatikan pada bahagian bumbung, strukturnya mengambil bentuk dua gading gajah yang bersilang.

Reka bentuk tersebut diilhamkan daripada jata negeri Pahang, sekali gus menjadikan simbol gajah sebagai elemen penting dalam identiti stesen berkenaan.

Dalam sejarah Pahang, gajah pernah digunakan sebagai kenderaan dalam istiadat diraja selain menjadi antara pengangkutan penting pada suatu ketika dahulu.

Haiwan berkenaan juga digunakan dalam unit ketenteraan menerusi Tentera Bergajah dan menjadi lambang kegagahan serta keperwiraan yang sinonim dengan negeri Pahang.

Kini, simbol bersejarah itu diberi nafas baharu menerusi reka bentuk kontemporari, sekali gus membawa identiti Pahang ke dalam pengalaman perjalanan penumpang ECRL pada masa hadapan.

4. Stesen Kuala Terengganu: Menggambarkan alunan ombak dan jiwa maritim

Sementara itu, Stesen Kuala Terengganu pula cukup dekat dengan identiti negeri yang sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada laut.

Reka bentuknya menjadi penghormatan kepada tradisi pesisir dan warisan maritim yang sekian lama mewarnai kehidupan masyarakat Terengganu.

Antara warisan yang diketengahkan ialah pembinaan bot tradisional yang diwarisi turun-temurun.

Kemahiran tersebut bukan sahaja menjadi kebanggaan masyarakat setempat, malah menjadi sumber rezeki generasi demi generasi.

Inspirasi itu diterjemahkan menerusi reka bentuk bumbung yang mengalir, menggambarkan pergerakan bot dan alunan ombak di lautan.

Elemen berkenaan membawa salah satu identiti ikonik Terengganu ke dalam sebuah mercu tanda moden yang bakal menyambut pengunjung dari seluruh Malaysia dan luar negara.

Kesemua reka bentuk ini menunjukkan bagaimana sebuah stesen boleh menjadi lebih daripada sekadar tempat persinggahan.

Sempena Hari Kebangsaan ke-69, marilah kita menghayati bagaimana stesen-stesen ECRL menghubungkan antara destinasi ini menyatukan pelbagai identiti, kisah dan warisan membentuk tanah air tercinta kita.

Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang dijadual memulakan operasi pada Januari 2027.

Apabila ECRL mula beroperasi kelak, perjalanan antara Kota Bharu dan Gombak dijangka mengambil masa sekitar empat jam berbanding tujuh jam atau lebih melalui jalan raya.

Rangkaian ECRL pula akan mempunyai 20 stesen apabila beroperasi sepenuhnya, sekali gus membuka akses lebih luas kepada destinasi dan komuniti di seluruh Pantai Timur.

Artikel Lain