Abe Dee menjelaskan mengenai kesalahan undang-undang yang biasa dilakukan rakyat Malaysia ketika memasuki Thailand.
RAKYAT Malaysia yang bercadang untuk memandu kereta atau menunggang motosikal ke Thailand diingatkan supaya membawa lesen memandu fizikal yang sah dan masih aktif mengikut undang-undang negara jiran itu.Perkara itu dijelaskan oleh wakil polis Tak Bai, Thailand dikenali sebagai Inspektor Abe Dee menerusi satu perkongsian bersama pengguna media sosial, Edwin Low. Menurutnya, keperluan berkenaan terpakai kepada pemandu dan penunggang berdaftar dari Malaysia sebaik sahaja memasuki wilayah Thailand.Ia termasuk keadaan apabila lesen memandu di Malaysia sudah diperbaharui secara dalam talian tetapi kad fizikal yang dimiliki sudah tamat tempoh.Di Malaysia, pemegang lesen memandu kini boleh menggunakan Lesen Memandu Malaysia (e-LLM) secara digital menerusi aplikasi MyJPJ dan tidak lagi perlu membawa kad fizikal.Kemudahan itu membolehkan status lesen disemak terus menerusi aplikasi di telefon, termasuk selepas pembaharuan dibuat secara dalam talian sebagaimana dijelaskan Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia.Namun, kelonggaran lesen digital berkenaan hanyalah terpakai untuk kegunaan dalam negara dan sama sekali tidak boleh diguna pakai bagi menggantikan lesen fizikal di Thailand.Jadi, mereka yang merancang untuk memandu atau menunggang di Thailand dinasihatkan supaya memegang kad lesen fizikal masih yang masih aktif sebelum memulakan perjalanan.Pastikan motosikal memiliki dua cermin sisi mengikut spesifikasi ditetapkan undang-undang Thailand.Selain isu lesen, Abe Dee turut mengingatkan penunggang motosikal supaya memastikan kenderaan yang dibawa masuk ke Thailand mematuhi ciri dan spesifikasi yang ditetapkan pihak berkuasa negara itu.Antaranya, motosikal wajib dipasang cermin sisi di sebelah kiri dan kanan kerana ketiadaannya boleh menyebabkan penunggang dikenakan saman.Sistem ekzos juga mestilah standard dan tidak menghasilkan bunyi terlalu bising atau keterlaluan kerana perkara itu antara kesalahan utama yang sering diperiksa polis di sana.Peringatan mesra ini wajar diberi perhatian serius susulan insiden sekumpulan penunggang motosikal dari Malaysia yang ditahan dan disaman ketika berkonvoi ke Hat Yai.Dalam kejadian tersebut, 17 motosikal yang ditunggang pelancong Malaysia diarahkan berhenti untuk pemeriksaan sebelum sembilan penunggang dikenakan saman atas pelbagai kesalahan.Antaranya termasuk pengubahsuaian motosikal secara tidak sah, menghasilkan bunyi terlalu kuat serta menunggang tanpa lesen memandu antarabangsa yang diperlukan.Kesemua saman berjumlah 12,000 baht (kira-kira RM1,500) dan urusan pembayaran diselesaikan di Balai Polis Hat Yai pada Isnin.Justeru, rakyat Malaysia yang mahu memandu atau menunggang motosikal ke Thailand perlu mengambil kira peraturan berkenaan.