PKPS terima anugerah Agensi Industri Agro Terbaik, manakala hab agropelancongannya SFV dinobatkan sebagai Destinasi Agropelancongan Terunggul.
USAHA Selangor Fruit Valley (SFV) mempromosikan agropelancongan membawa hasil apabila menerima dua trofi pengiktirafan pada Anugerah Industri Pelancongan 2026 (TIA 2026) pada 8 Ogos lalu.Pada acara tersebut, SFV menerima anugerah menerusi kategori Destinasi Agropelancongan Terunggul (Best Leading Agrotourism Destination) Agensi Industri Agro Terbaik (Best Agro Industry Agency). Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, pengiktirafan itu sebagai pencapaian penting dalam usaha memperluaskan peranan sektor pertanian kepada bidang agropelancongan.Menurut Mohamad Khairil, kejayaan itu turut mencerminkan hasil usaha bersama seluruh warga kerja organisasi, Kerajaan Negeri Selangor dan rakan-rakan strategik termasuk media yang sentiasa memberikan sokongan dalam usaha memperkukuh sektor pertanian dan agropelancongan di negeri itu.Ketua Sektor Sektor Sekuriti Makanan & Perladangan, Jamaluddin Kadir (dua, kanan) menerima anugerah Destinasi Agropelancongan Terunggul (Selangor Fruit Valley)."SFV bukan sekadar destinasi untuk pengunjung melihat dan merasai pengalaman berkaitan pertanian, sebaliknya turut menjadi platform mendekatkan masyarakat dengan sektor berkenaan serta memberi pendedahan mengenai teknologi dan inovasi dalam industri agro," katanya.Majlis yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya turut dirasmikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man serta turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.TIA 2026 dianjurkan Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA) dan Santai Travel dengan kerjasama Tourism Selangor sebagai platform mengiktiraf kecemerlangan, inovasi dan komitmen pemain industri pelancongan Malaysia dalam memperkukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.Dalam pada itu, Mohamad Khairil berkata, SFV turut membuka ruang kepada kerjasama dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan pembangunan usahawan.Dua trofi diraih PKPS dan SFV pada Anugerah Industri Pelancongan 2026 (TIA 2026).Bagi meningkatkan lagi pengalaman pengunjung, PKPS akan terus memperkukuh pembangunan SFV menerusi penambahbaikan kemudahan serta pengenalan projek dan tarikan baharu.Antara yang bakal diperkenalkan ialah Kafe Vanila, kemudahan glamping dan Taman Buah Nadir yang menawarkan pengalaman agropelancongan, rekreasi dan pendidikan, selain menyokong usaha pemuliharaan spesies buah-buahan tempatan yang semakin sukar dijumpai.Susulan itu, PKPS menerusi SFV akan terus mempergiatkan usaha promosi bagi menggalakkan pelancongan di peringkat domestik dan antarabangsa.Pada tahun lalu, PKPS turut menerima dua anugerah berprestij sempena TIA 2025 iaitu Produk Agropelancongan Terbaik (Best Agro Tourism Product), manakala SFV dinobatkan sebagai Destinasi Pengalaman Agro Terbaik (Best Agro Experience Destination).