suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Boleh pasang sendiri Mini Cooper guna teknik CKD dan CBU... Sunway Lagoon perkenal pusat bina miniatur pertama di Asia Tenggara

Pengunjung berpeluang melihat robotik membantu proses pemasangan komponen serta memberi gambaran bagaimana teknologi digunakan dalam industri pembuatan moden.

JIKA selama ini anda hanya melihat proses pemasangan kereta di kilang menerusi video atau dokumentari, kini pengalaman itu boleh dirasai sendiri di Sunway Lagoon.

Menerusi tarikan terbaharunya iaitu Sunway Tiny Experience Factory (STEF), pengunjung berpeluang merasai sendiri pengalaman menghasilkan sebuah kenderaan miniatur. 

Pada masa sama, mereka turut didedahkan kepada elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi aktiviti interaktif dalam suasana menyeronokkan.

Lebih menarik, STEF merupakan pusat pengalaman pemasangan kenderaan miniatur pertama dan paling komprehensif di Asia Tenggara menawarkan simulasi proses Completely Knocked Down (CKD) dan Completely Built-Up (CBU) seperti digunakan dalam industri automotif sebenar.

Merangkumi ruang seluas kira-kira 189 meter persegi dengan enam zon imersif, tarikan ini direka khas untuk semua peringkat umur sama ada kanak-kanak, remaja, dewasa mahupun peminat koleksi (collector) kereta miniatur.

STEF merupakan tarikan terbaharu di Sunway Lagoon menawarkan pengalaman interaktif menghasilkan kereta mini menerusi konsep pembelajaran sambil berseronok.

Jadi sebahagian daripada proses menghasilkan kereta mini

Di STEF, anda bukan sekadar melihat demonstrasi, malah berpeluang memasang sendiri sebuah model Tiny (Mini Cooper) daripada awal sehingga siap.

Pengalaman bermula dengan sesi taklimat sebelum pengunjung memilih sama ada ingin mencuba pengalaman CKD atau CBU, diikuti proses memilih rekaan mengikut cita rasa sendiri.

Sepanjang aktiviti berlangsung, pengunjung akan melalui pelbagai proses menarik termasuk pemasangan komponen, penggunaan teknologi robotik, percetakan UV dan pengukiran laser pada nombor plat pilihan sebelum membawa pulang hasil ciptaan sendiri.

Sebagai kenangan, setiap peserta turut menerima Lesen Memandu STEF, sijil penyertaan serta sebuah kenderaan miniatur yang telah siap dipasang.

Pengunjung boleh memilih pelbagai rekaan seperti corak bumbung, warna, rim dan nombor plat sebelum memulakan proses menghasilkan kereta mini mengikut cita rasa sendiri.

Dua pengalaman berbeza, pilih ikut minat

Bagi mereka yang gemar melakukan sendiri setiap proses pemasangan, pengalaman CKD menawarkan peluang memasang model kenderaan miniatur menggunakan komponen berasingan.

Dengan bimbingan disediakan pada setiap peringkat utama, pengunjung akan memasang badan kereta, casis dan bahagian dalaman sebelum memilih satu daripada tiga rekaan bumbung serta mengukir nombor plat pilihan menggunakan teknologi laser.

Paling menarik, pengunjung boleh membawa pulang model miniatur yang dipasang dan direka sendiri sebagai cenderamata eksklusif.

Pengunjung yang memilih pengalaman CBU akan melalui beberapa stesen simulasi pengeluaran termasuk proses die casting, spray painting, injection molding dan pemasangan komponen.

Sementara itu, pengalaman CBU pula sesuai untuk mereka yang ingin melihat bagaimana teknologi automasi digunakan dalam industri pembuatan moden.

Menerusi 10 stesen interaktif, pengunjung akan mengikuti keseluruhan proses penghasilan sebuah kenderaan miniatur.

Bermula daripada proses tuangan acuan, semburan cat, pengacuan suntikan, pengendalian komponen menggunakan robotik, pemasangan automatik, percetakan UV sehingga pengukiran laser pada nombor plat pilihan.

Pengalaman ini memperlihatkan bagaimana teknologi robotik, teknologi dan kejuruteraan berketepatan tinggi digabungkan bagi meningkatkan kecekapan serta memacu inovasi dalam industri pembuatan moden.

Setiap peserta menerima kit pemasangan lengkap yang mengandungi komponen kereta mini, peralatan, sijil penyertaan dan aksesori untuk pengalaman memasang model sendiri.

Memupuk minat terhadap STEM sambil berseronok

Selain menawarkan pengalaman yang unik, STEF turut menjadikan pembelajaran STEM lebih menyeronokkan menerusi aktiviti secara praktikal.

Melalui setiap proses yang dijalankan, pengunjung dapat memahami bagaimana elemen kejuruteraan, kreativiti dan teknologi digabungkan untuk menghasilkan sebuah produk, sekali gus memberi pendedahan kepada dunia pembuatan moden dalam suasana santai dan interaktif.

Ia menjadikan STEF pilihan sesuai untuk aktiviti keluarga, pelajar, peminat automotif mahupun sesiapa sahaja ingin mencuba pengalaman baharu yang berbeza daripada kebiasaan.

Sunway Lagoon dalam satu kenyataan berkata, STEF diperkenalkan bagi menawarkan pengalaman pembelajaran yang imersif apabila menggabungkan hiburan, kreativiti dan teknologi. 

Nombor plat pilihan akan diukir menggunakan teknologi laser sebelum kereta mini siap sepenuhnya.

Pengalaman STEF juga memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri proses pembuatan moden, sekali gus memupuk rasa ingin tahu, mencetuskan inovasi serta menjadikan pembelajaran STEM lebih menarik untuk semua peringkat umur.

"Lebih daripada sekadar sebuah tarikan, STEF menggalakkan pengunjung menjadi pencipta dan bukan sekadar pemerhati. 

"Pengunjung bukan sahaja dapat membawa pulang sebuah kenderaan miniatur yang telah dipasang.

"Malah pengunjung memperoleh pemahaman lebih mendalam tentang bagaimana teknologi dan kreativiti digabungkan untuk menghasilkan produk yang digunakan dalam kehidupan seharian," demikian menurut kenyataan itu.

Selepas selesai, pengunjung membawa pulang kereta mini yang dipasang sendiri bersama sijil penyertaan dan lesen STEF sebagai kenang-kenangan.

Rancang kunjungan anda

Sunway Tiny Experience Factory kini dibuka di Sunway Lagoon dan beroperasi setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 11 malam, kecuali Selasa. 

Bagaimanapun, STEF akan terus beroperasi pada hari Selasa sekiranya ia bertepatan dengan cuti sekolah atau cuti umum di Malaysia.

Harga tiket ditawarkan pada RM69 bagi pengalaman CKD dan RM99 bagi pengalaman CBU.

Jadi, jika anda sedang mencari aktiviti hujung minggu yang menyeronokkan bersama keluarga atau rakan-rakan, inilah peluang untuk merasai sendiri pengalaman menghasilkan sebuah kereta miniatur sambil mempelajari asas automotif dan teknologi dalam suasana yang penuh interaktif.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web Sunway Lagoon atau ikuti media sosial rasmi Sunway Lagoon Studios di Facebook, Instagram, YouTube, TikTok dan RedNote.

Artikel Lain