SEORANG lelaki didakwa membunuh isterinya sebelum membawa kepala mangsa yang dipenggal ke sebuah kuil berhampiran kediaman mereka.Perbuatan kejam itu terbongkar apabila seorang jiran yang menghampirinya terkejut melihat kepala wanita berkenaan di tangan suspek sebelum menjerit meminta bantuan. Kejadian berlaku di Gangarampur, daerah Dakshin Dinajpur, Bengal Barat, India pada pagi Rabu.Menurut laporan The Indian Express, suspek dikenali sebagai Rintu Ghosh, 47, manakala mangsa ialah isterinya, Sima Sarkar, 42.Penduduk pada mulanya melihat suspek duduk diam di dalam kuil sebelum seorang jiran menghampirinya untuk mengetahui sama ada dia berdepan masalah.Seiring pertanyaan, jiran yang terkejut melihat kepala mangsa kemudiannya menjerit sehingga menarik perhatian penduduk setempat.Susulan kekecohan itu, suspek bertindak keluar dari kuil sambil membawa kepala isterinya di sebelah tangan dan sebilah senjata tajam yang digunakan untuk kerja pertanian di tangan sebelah lagi.Polis yang menerima maklumat bergegas ke lokasi sebelum mengepung kawasan berkenaan dan menahannya.Hasil pemeriksaan lanjut, polis mendapati kepala mangsa ditemukan di kuil, manakala tubuhnya berada di kediaman pasangan itu.Ketua Polis Daerah Dakshin Dinajpur, Abhishek Gupta mengesahkan penahanan suspek dan berkata siasatan awal menjurus kepada pertelingkahan rumah tangga."Berdasarkan siasatan awal, dia membunuh isterinya di rumah akibat pertelingkahan rumah tangga."Mereka mempunyai dua anak berusia lima dan sekitar 12 tahun. Maklumat awal menunjukkan kedua-duanya berada di rumah ketika kejadian," katanya.Menurut Abhishek, tiada bukti awal menunjukkan suspek berada di bawah pengaruh bahan memabukkan ketika kejadian. -Agensi