SESETENGAH lampu isyarat lalu lintas hijau akan berkelip beberapa kali sebelum bertukar kuning dan merah bagi memberi amaran kepada pemandu.Namun tahukah anda bahawa idea pelaksanaannya tercetus daripada satu insiden kemalangan ambulans yang berlaku di Jalan Munshi Abdullah–Jalan Bendahara, Melaka pada 1996.Kisah di sebaliknya bermula apabila kejadian itu disaksikan sendiri oleh seorang wartawan, Ishak Mohamed Salleh.Terkesan dengan apa yang dilihat, bekas pengamal media yang kini berusia 65 tahun itu tampil mengambil inisiatif mencadangkan solusi bagi mengelakkan tragedi sama berulang. Melalui tulisannya di akhbar ketika itu, dia mencadangkan agar lampu isyarat hijau berkelip lima kali terlebih dahulu sebagai peringatan awal buat pemandu supaya bersedia memperlahankan kenderaan."Selepas menyaksikan kemalangan itu, saya mencadangkan agar lampu isyarat berkelip lima kali supaya pengguna jalan raya dapat menjangka perubahan isyarat dengan lebih baik," katanya menurut The Star.Cadangan bernas itu akhirnya berjaya menarik perhatian pihak polis Melaka sebelum dijadikan projek perintis di beberapa simpang terpilih dan seterusnya diperluaskan ke seluruh negara.Lama-kelamaan, kaedah praktikal ini terbukti membawa kesan positif apabila ia membantu pemandu bertindak lebih awal di persimpangan sekali gus mengurangkan risiko kemalangan dari arah belakang.Kini, selepas lebih tiga dekad berlalu, idea cetusan bekas wartawan itu kekal berjasa dan dianggarkan telah menyelamatkan ribuan nyawa di atas jalan raya.