KEMATIAN ketika sedang menunaikan solat di masjid sering dianggap sebagai satu bentuk pengakhiran hidup yang baik atau husnul khatimah dan dicemburui ramai umat Islam. Mana tidaknya, seseorang itu menghembuskan nafas terakhir ketika sedang beribadah dalam keadaan berada di rumah Allah dan mengabdikan diri sebagai seorang hamba-Nya. Di Threads, tular satu rakaman [Tonton Video] memaparkan seorang lelaki yang rebah ketika sedang menunaikan solat berjemaah di sebuah masjid.Dalam rakaman itu, lelaki berbaju merah berkenaan dilihat cuba bangun sebelum terkulai dalam posisi sujud sementara jemaah lain sudah bangkit untuk meneruskan rakaat seterusnya.Maka, timbul pula persoalan mengenai tindakan sewajarnya yang perlu dilakukan oleh para jemaah di sekeliling jika mereka berada dalam situasi sedemikian.Daripada sudut hukum, adakah mereka dibenarkan untuk menghentikan solat bagi membantu mangsa?Menurut Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, pada asasnya, hukum memutuskan solat fardu tanpa sebab yang dibenarkan syarak adalah dilarang. Mohd Izhar berkata menjaga solat merupakan satu kewajipan, tetapi menyelamatkan nyawa dalam keadaan darurat juga merupakan tuntutan syarak yang sangat besar."Namun, apabila berlaku kecemasan yang mengancam nyawa seseorang, Islam memberikan keharusan. Malah ia boleh menjadi wajib untuk memutuskan solat bagi memberikan pertolongan. Hal ini bertepatan dengan prinsip maqasid syariah, iaitu pemeliharaan nyawa (hifz al-nafs) sebagai salah satu objektif utama syariat Islam."Jika seseorang jemaah tiba-tiba rebah ketika solat berjemaah dan terdapat petunjuk bahawa mangsa mengalami kecemasan serius seperti serangan jantung, tidak sedarkan diri atau terhenti pernafasan, jemaah yang mampu memberikan bantuan hendaklah bertindak segera. "Mereka tidak sepatutnya menunggu sehingga solat selesai sekiranya kelewatan boleh membahayakan nyawa mangsa. Dalam keadaan ini, hukum memutuskan solat fardu adalah harus dan boleh menjadi wajib apabila pertolongan tersebut diperlukan untuk menyelamatkan nyawa dan tiada orang lain yang mampu mengambil tindakan sewajarnya," ujarnya kepada mStar.Menurut Mohd Izhar lagi, hal ini selari dengan pandangan para fuqaha yang mendahulukan usaha menyelamatkan nyawa apabila berlaku pertentangan antara kewajipan meneruskan solat dengan keperluan menyelamatkan seseorang daripada bahaya yang mengancam nyawa.Walau bagaimanapun, jika sudah terdapat jemaah lain yang memberikan bantuan dengan berkesan dan kehadiran tambahan tidak diperlukan, jemaah lain tidak semestinya perlu membatalkan solat masing-masing. Sebaliknya, mereka boleh meneruskan solat selagi keadaan mengizinkan.Apakah yang perlu dilakukan jika jemaah memutuskan solat untuk membantu mangsa?Sekiranya seseorang memutuskan solat fardu kerana kecemasan tersebut, Mohd Izhar berkata individu itu tidak boleh menyambung solat daripada tempat terakhir dia berhenti. Pada asasnya, hukum memutuskan solat fardu tanpa sebab yang dibenarkan syarak adalah dilarang. "Dia perlu memulakan semula solat dari awal setelah selesai memberikan bantuan dan keadaan kembali terkawal. Contohnya, jika seseorang sedang berada pada rakaat kedua solat Zuhur dan terpaksa berhenti untuk membantu jemaah yang rebah, selepas selesai membantu mangsa, dia hendaklah mengambil wuduk semula jika wuduknya terbatal dan menunaikan solat Zuhur empat rakaat dari awal."Jika wuduknya masih sah, dia tidak perlu mengambil wuduk semula. Namun, solat yang telah diputuskan itu perlu dimulakan semula, bukannya disambung daripada rakaat yang terdahulu. Jika mangsa memerlukan bantuan segera, urusan menyelamatkan nyawa hendaklah didahulukan. Solat yang terpaksa ditinggalkan itu perlu ditunaikan semula selepas urusan kecemasan selesai," jelasnya lagi.Apakah hukum bagi jemaah yang hanya membantu selepas solat selesai?Tindakan membantu selepas solat selesai tidak semestinya salah. Ini kerana hukum dan penilaian terhadap tindakan tersebut bergantung pada keadaan sebenar mangsa ketika rebah, jelas Mohd Izhar. "Jika mangsa masih bernafas, sedar atau tidak menunjukkan tanda kecemasan kritikal, keadaan mungkin membolehkan jemaah menyempurnakan solat terlebih dahulu, bergantung pada penilaian situasi."Namun, jika mangsa tidak sedarkan diri, tidak bernafas secara normal atau disyaki mengalami serangan jantung, bantuan kecemasan perlu dimulakan dengan segera. Menunggu sehingga solat selesai boleh mengakibatkan kelewatan yang berbahaya."Oleh itu, kita tidak boleh terus menghukum jemaah yang berada dalam video tertentu tanpa mengetahui keadaan mangsa, tempoh kelewatan dan maklumat lain yang berkaitan," katanya lagi.Apakah panduan Islam dalam situasi ini?Mohd Izhar berkata Islam mengajar umatnya supaya mengimbangi tuntutan ibadah dengan tanggungjawab kemanusiaan. Jelasnya, menjaga solat merupakan satu kewajipan, tetapi menyelamatkan nyawa dalam keadaan darurat juga merupakan tuntutan syarak yang sangat besar."Prinsip ini selari dengan kaedah fiqh al-darar yuzal, yang bermaksud kemudaratan hendaklah dihilangkan. Ia juga bertepatan dengan perbincangan ulama mengenai keharusan dan kewajipan memutuskan solat dalam keadaan darurat bagi menyelamatkan nyawa," ujarnya.