suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Sering dianggap makbul automatik, ini hakikat sebenar jika ibu terlanjur kata kepada anak

Seorang ibu perlu beristighfar kepada Allah SWT jika tersalah kata dalam ucapannya terhadap anak-anak. -Gambar hiasan AI

TEGURAN tegas dan amaran bernada keras daripada seorang ibu kerap kali kedengaran apabila anak-anak mula menunjukkan sikap degil atau melakukan perkara membahayakan.

Namun timbul persoalan dalam kalangan ibu bapa, adakah kata-kata yang kurang sedap didengar itu boleh terus bertukar menjadi 'doa' yang makbul, walaupun di dalam hati langsung tiada niat untuk mendoakan perkara buruk?

Menjawab keraguan itu, Jabatan Mufti Selangor tampil memberikan penjelasan bahawa doa seorang ibu terhadap anak sememangnya tergolong dalam kelompok doa yang sangat mustajab.

Ia berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

"Tiga doa yang mustajab yang tidak diragukan lagi iaitu doa orang yang dizalimi, doa orang yang bermusafir dan doa orang tua pada anaknya." (Riwayat Ibnu Majah)

Menurut penjelasan tersebut, hadis berkenaan menunjukkan bahawa doa yang baik-baik daripada ibu bapa kepada anak termasuk dalam doa yang mustajab.

Doa seorang ibu sememangnya tiada hijab. -Gambar hiasan AI

Bagaimanapun, harus difahami bahawa bukan semua amaran atau kata-kata yang terlepas daripada mulut seorang ibu secara spontan boleh dianggap sebagai satu doa.

Laman itu menjelaskan, terdapat keadaan apabila seorang anak melakukan kesalahan atau perkara yang boleh membahayakan dirinya tanpa mengetahui akibat daripada perbuatan tersebut.

Dalam situasi itu, seorang ibu pastilah memberi peringatan kepada anak supaya lebih berhati-hati dan tidak mengulangi kesilapan sama.

"Sesuatu perkara yang buruk itu tidak akan berlaku melainkan dengan keizinan daripada Allah SWT.

"Justeru, ibu sentiasalah beristighfar kepada Allah SWT jika tersalah kata dalam ucapannya terhadap anak-anak," terangnya.

ARTIKEL BERKAITAN:Pengorbanan nyawa tiada tanda harga… Ini hukum trend isteri tuntut ‘upah’ beranak daripada suami

Ibu juga disarankan membaca doa yang boleh dijadikan amalan harian, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Syaddad bin Aus RA, bermaksud:

"Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu.

"Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau." (Riwayat al-Bukhari)

Kesimpulannya, tidak semua kata-kata seorang ibu kepada anak, termasuk teguran dan amaran, boleh terus dianggap sebagai doa.

Apa yang penting, seorang ibu perlulah menjaga tutur kata terhadap anak dan segera memohon keampunan kepada Allah SWT sekiranya terlanjur mengeluarkan kata-kata tidak baik. Semoga bermanfaat!

Artikel Lain