Tanggungjawab terhadap kerosakan harta orang lain yang berpunca daripada anak perlu diambil oleh ibu bapa. -Gambar hiasan AI
KANAK-KANAK sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada sifat aktif dan kenakalan mereka. Dalam proses membesar, ada kalanya tingkah laku mereka berlaku tanpa memikirkan kesannya, termasuklah perbuatan yang menyebabkan barang milik orang lain rosak. Namun, bagaimana pula jika kerosakan itu melibatkan barangan yang bernilai tinggi? Adakah cukup sekadar ibu bapa meminta maaf kepada pemilik barang atau wujud tanggungjawab untuk membayar ganti rugi?Persoalan itu turut mendapat penjelasan menerusi laman web Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan yang menghuraikan kedudukan kanak-kanak dari sudut hukum syarak, termasuk tanggungjawab terhadap harta orang lain yang dirosakkan.Menurut penjelasan tersebut, Allah SWT telah mengangkat taklif daripada tiga golongan, iaitu orang yang tidur sehingga dia terjaga, kanak-kanak sehingga dia baligh dan orang yang gila sehingga dia sedar.Ia berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Telah diangkat pena dari tiga golongan, dari orang yang tidur sehingga dia terjaga, dari seorang kanak-kanak sehingga dia baligh dan daripada orang yang gila sehingga dia sedar" [Hadis riwayat Abu Daud (4403) dan Ibn Hibban (142)]Makna 'telah diangkat pena' ialah golongan berkenaan tidak dibebankan dengan taklif serta tidak dikenakan hukuman atau dosa atas perkara yang dilakukan oleh mereka.Dalam kaedah fiqh pula, perbuatan sengaja yang dilakukan oleh kanak-kanak dikira sebagai satu kesilapan.Justeru, bayi atau kanak-kanak belum baligh dan melakukan perbuatan yang pada asalnya boleh menyebabkan seseorang dikenakan hukuman, tidak dihukum seperti orang dewasa, termasuk dalam perkara berkaitan hukuman hudud.Bagaimanapun, kanak-kanak masih boleh dikenakan hukuman takzir yang bersifat mendidik serta memberi pengajaran.Walaupun kanak-kanak tidak dikenakan hukuman atas perbuatan tersebut, ia tidak bermakna tanggungjawab terhadap kerosakan harta orang lain turut gugur.Ia menjelaskan bahawa jaminan ganti rugi terhadap barang yang dirosakkan masih tetap ada kerana perkara itu melibatkan hak orang lain.Hal ini seperti yang disebut di dalam kitab Tuhfat al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, maksudnya:"Tiada hukuman terhadap kanak-kanak, orang gila dan orang yang dipaksa, walaupun mereka tetap perlu membayar ganti rugi bagi nyawa (diyat) dan harta yang dirosakkan".Jadi, siapa yang perlu membayar?Kesimpulannya, ganti rugi bagi barang dirosakkan oleh kanak-kanak yang belum mumayyiz hendaklah dilunaskan daripada harta kanak-kanak itu sendiri, sekiranya dia mempunyai harta.Namun, mengambil kira keadaan kebiasaan bahawa kanak-kanak yang belum mumayyiz lazimnya tidak mempunyai harta sendiri, maka ibu bapa atau penjaganya hendaklah melunaskan ganti rugi tersebut bagi pihak kanak-kanak berkenaan.Ini kerana ibu bapa atau penjaga mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak tersebut daripada melakukan perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan atau kerugian kepada orang lain.