Hargai pengorbanan besar isteri melahirkan cahaya mata adalah sesuatu yang amat digalakkan. -Gambar hiasan AI
ANAK merupakan amanah dan anugerah yang hadir bersama tanggungjawab besar buat ibu bapa.Namun, di sebalik kegembiraan menyambut kelahiran cahaya mata, seorang wanita melalui pelbagai cabaran sepanjang kehamilan, proses melahirkan dan tempoh berpantang. Disebabkan pengorbanan ibu sememangnya terlalu besar, ada yang membangkitkan persoalan mengenai sama ada seorang isteri boleh meminta 'upah' daripada suami selepas melahirkan anak.Malah topik tersebut turut hangat dikongsikan di media sosial apabila ada segelintir golongan isteri memuat naik 'upah' yang diterima daripada suami masing-masing. Justeru, apakah wajib seorang suami memberikan 'upah melahirkan anak' menurut hukum syarak?Persoalan itu turut dijelaskan menerusi perkongsian portal Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan yang menghuraikan tanggungjawab isteri dan suami dalam soal kehamilan, kelahiran serta nafkah.Menurut Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, kehamilan atau kelahiran merupakan salah satu sunnatullah dalam proses kejadian manusia."Maklum diketahui bahawa yang melahirkan manusia adalah wanita yang digelar ibu sebagaimana yang disebutkan dalam banyak ayat al-Quran antaranya menerusi Surah al-Ahqaf, ayat 15 yang bermaksud:"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah."Melayani isteri dengan baik juga merupakan salah satu cara menghargai pengorbanannya. -Gambar hiasan AITokoh ulama terkemuka, Syeikh Wahbah al-Zuhaili turut menerangkan dalam tafsirnya yang bermaksud: "Dan dalam ayat ini terdapat isyarat bahawa hak seorang ibu adalah lebih utama daripada hak seorang bapa, kerana ibu mengandungkannya dengan kepayahan, melahirkannya juga dengan kepayahan, menyusukannya, memeluk dan memeliharanya dengan penuh keletihan dan kesabaran."Sedangkan bapa tidak mengambil bahagian dalam mana-mana hal tersebut, walaupun dia penat dalam mencari rezeki dan memberi nafkah."Oleh sebab itu, hadis-hadis Nabi SAW menegaskan kewajipan berbakti kepada ibu, bahkan meletakkan kedudukan ibu tiga kali lebih utama daripada kedudukan bapa." Bukan 'upah' tetapi tanggungjawab nafkahFirman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 233 secara jelas menyentuh peranan serta tanggungjawab seorang bapa, iaitu:"Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya"Berdasarkan ayat tersebut, tanggungjawab utama suami adalah menyediakan nafkah kepada isteri dan bukannya membayar 'upah' atas kelahiran anak.Ulama turut menggariskan tujuh keperluan wajib yang termasuk dalam nafkah kepada isteri iaitu makanan, lauk-pauk, pakaian, alat kebersihan diri, perkakasan dapur, tempat tinggal serta pembantu sekiranya isteri pada kebiasaannya mempunyai pembantu di rumah keluarganya.ARTIKEL BERKAITAN: Solat waktu salah gara-gara lupa tukar lokasi negara pada aplikasi, Jakim perjelas sama ada perlu qada atau sebaliknyaSelain itu, suami juga bertanggungjawab membiayai kos rawatan dan ubat-ubatan bagi proses melahirkan anak.Tidak terhad kepada itu, suami juga perlu menyediakan makanan yang berkhasiat dan sihat untuk isteri sepanjang tempoh berehat selepas melahirkan anak."Justeru itu, tiada bayaran atau pemberian wajib kepada isteri atas sebab melahirkan anak melainkan suami hendaklah melaksanakan pemberian nafkah sebagaimana yang telah diwajibkan menurut hukum syarak," jelas mufti.Walaupun pemberian 'upah' tidak diwajibkan daripada segi hukum syarak, mufti berpendapat menghargai isteri yang melalui pengorbanan besar ketika melahirkan anak adalah sesuatu yang amat digalakkan.Antara bentuk penghargaan yang boleh diberikan suami termasuklah memberikan layanan istimewa kepada isteri sepanjang tempoh kehamilan dan proses melahirkan.Suami juga boleh menyediakan ruang berehat yang baik dan selesa serta memberikan sokongan emosi dan fizikal sepanjang melalui proses kehamilan, kelahiran dan tempoh selepas bersalin yang sememangnya mencabar."Oleh yang demikian, walaupun tiada kewajiban hukum, suami yang menghargai pengorbanan isteri akan tetap memberi sesuatu yang termampu sebagai tanda kasih dan penghormatan," akhirinya.