Isu anjing liar dan terbiar bukan sekadar berkaitan kebajikan haiwan, malah turut membabitkan aspek keselamatan awam yang perlu diberi perhatian serius. -Gambar hiasan AI
ISU anjing terbiar kembali panas dan mencetuskan keresahan ramai selepas beberapa kes serangan ganas mendapat liputan meluas.Ini termasuk insiden tragis membabitkan Rocky serta seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang parah dikeroyok lima ekor anjing liar pada Sabtu lalu. Insiden sebegini bukan sahaja mengundang kebimbangan mengenai keselamatan awam, malah turut mencetuskan perbincangan mengenai bagaimana isu haiwan yang boleh mendatangkan bahaya perlu ditangani.Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan bahawa Islam sememangnya mengajar umatnya supaya berbuat ihsan dan berlemah lembut terhadap haiwan.Namun, menurut beliau, konsep rahmat dalam Islam tidak bermaksud membiarkan kemudaratan berlaku sehingga mengancam keselamatan manusia.Beliau berkata, Islam ialah agama yang membawa rahmat dan kelembutan, manakala Nabi Muhammad SAW diutuskan membawa rahmat kepada seluruh alam.Dua daripada lima ekor anjing terbiar yang dikatakan menyerang kanak-kanak perempuan dua tahun hingga parah, di Peserai, Johor, Sabtu lalu. "Rahmat ini meliputi manusia, haiwan bahkan seluruh makhluk ciptaan Allah SWT. Nas-nas syariat Islam menunjukkan kewajipan berlaku ihsan dan berlemah lembut dalam setiap perkara, termasuk dalam urusan berkaitan haiwan."Namun, rahmat dalam Islam bukan bermaksud membiarkan kemudaratan berlaku."Sebagaimana Islam memerintahkan berbuat baik kepada haiwan, Islam juga membenarkan menghilangkan bahaya apabila sesuatu haiwan berubah menjadi ancaman," katanya menerusi perkongsian di Threads. Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa para ulama membahagikan hukum dengan membezakan antara haiwan yang tidak mengganggu dan haiwan yang menyerang serta mendatangkan kemudaratan.ARTIKEL BERKAITAN: Budak dua tahun diserang sekumpulan anjing depan rumah, hampir seluruh badan cedera"Haiwan yang tidak mengganggu wajib dijaga dan tidak boleh dizalimi atau dibunuh tanpa sebab. Haiwan yang menyerang dan memudaratkan boleh ditangani, bahkan dibunuh jika itu satu-satunya cara untuk menghilangkan bahaya."Ini selari dengan kaedah fiqh yang menyebut bahawa kemudaratan hendaklah dihilangkan," terangnya. Dalam masa sama, beliau turut memetik hadis Nabi Muhammad SAW yang menjelaskan mengenai binatang yang dianggap berbahaya dan dibenarkan untuk dibunuh sama ada di tanah halal mahupun tanah haram.Islam memerintahkan berbuat baik kepada haiwan, dalam masa yang sama, adalah dibenarkan menghilangkan bahaya apabila sesuatu haiwan berubah menjadi ancaman. -Gambar hiasan AI"Lima jenis binatang, semuanya dianggap fasiq (berbahaya), yang boleh dibunuh di tanah halal dan tanah haram, iaitu burung gagak, burung helang, kala jengking, tikus dan anjing yang ganas."Imam al-Nawawi rahimahullah pula menyebut, menurut jumhur ulama, tidaklah yang dimaksudkan dengan al-kalb al-‘aqūr itu khusus kepada anjing yang dikenali (anjing biasa), bahkan yang dimaksudkan ialah setiap haiwan buas yang menyerang dan biasanya menerkam, seperti singa, harimau, serigala, cheetah dan seumpamanya. Makna 'aqur dan 'āqir ialah haiwan yang mencederakan (melukakan)," terangnya lagi. Jelas beliau, dalam situasi ini, perlu difahami bahawa bukanlah semata-mata kerana haiwan berkenaan merupakan seekor anjing, tetapi sifatnya yang menyerang dan membawa kemudaratan."Haiwan lain yang mempunyai sifat sama juga termasuk dalam hukum ini."Justeru, rahmat kepada haiwan dan menjaga keselamatan manusia bukanlah dua perkara yang bertentangan. Kedua-duanya adalah sebahagian daripada keindahan ajaran Islam yang meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya," ujar beliau.