Dalam usaha mencari rezeki, umat Islam disarankan memilih bidang perniagaan yang bukan sahaja menguntungkan, tetapi turut selari dengan tuntutan syarak. -Gambar hiasan AI
SIAPA sahaja yang tidak tertarik untuk menjana pendapatan lumayan, apatah lagi jika perniagaan yang diceburi dilihat mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat.Namun, bagi seorang Muslim, keuntungan semata-mata bukanlah ukuran utama kerana setiap sumber rezeki yang diperoleh perlu dipastikan tidak bercanggah dengan syariat agar beroleh keberkatan. Sebagai contoh, urusan perniagaan yang melibatkan produk rokok elektronik atau vape.Seorang individu tampil membangkitkan persoalan mengenai hukum menjual cecair atau e-juice untuk vape memandangkan dia bercadang membuka perniagaan demikian, namun dalam masa yang sama bimbang keputusannya itu menjejaskan keberkatan rezeki untuk dirinya serta keluarga.Menjawab persoalan tersebut, laman portal Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa penggunaan rokok elektronik atau vape difatwakan haram oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 21 Disember 2015.Secara umumnya, pengharaman tersebut berkait dengan kandungan dalam vape yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada tubuh badan serta memberi kesan buruk terhadap kesihatan.Menurut penjelasan berkenaan, terdapat kajian sains yang menunjukkan e-liquid atau e-juice mengandungi bahan yang boleh memudaratkan kesihatan.Antaranya termasuk bahan perisa tertentu yang didakwa mampu memberi kesan kepada sel lapisan kulit dan sel otak.Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memfatwakan bahawa penggunaan rokok elektronik atau vape adalah haram. -Gambar hiasan"Kebiasaannya e-liquid dicampur dengan racun nikotin yang menyebabkan ketagih. Hal ini berdasarkan analisis sampel e-liquid rokok elektronik secara rawak oleh Makmal Toksikologi, Pusat Racun Negara."Kajian Harvard mendedahkan dua e-liquid perisa popcorn dan caramel lebih terdedah kepada penyakit paru-paru seperti penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) dan asma."E-liquid atau e-juice rokok elektronik penyebab penyakit yang telah terbukti secara saintifik. "Maka, segala wasilah serta usaha yang mendorong ke arah penggunaan rokok elektronik yang jelas telah diharamkan adalah haram," jelasnya.ARTIKEL BERKAITAN: Bangun tidur terus bergegas sembahyang! Tahi mata punya fasal, wuduk dan solat boleh jatuh tak sah!Justeru, pihaknya berpandangan bahawa perniagaan menjual e-liquid dalam pelbagai perisa untuk rokok elektronik adalah tidak dibenarkan kerana barang jualan tersebut tidak memberikan manfaat, sebaliknya boleh mendatangkan kemudaratan.Sehubungan itu, individu berkenaan dinasihatkan supaya membatalkan hasrat untuk membuka perniagaan menjual e-liquid rokok elektronik.Tambahnya lagi, mencari sumber rezeki yang halal dan diberkati bagi menyara keluarga merupakan satu kewajipan bagi umat Islam.Ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripada-Nya" (Surah al-Jathiah 45:13)Oleh itu, dalam usaha mencari pendapatan, umat Islam disarankan memilih bidang perniagaan yang bukan sahaja menguntungkan, tetapi turut selari dengan tuntutan syarak agar rezeki yang diperoleh membawa keberkatan kepada diri dan keluarga.