Sesetengah individu berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri ketika berada di luar negara, termasuk penetapan waktu solat. -Gambar hiasan AI
KEPENATAN selepas perjalanan jauh atau jet lag boleh menyebabkan seseorang terlepas pandang perkara kecil, termasuk terlupa menetapkan lokasi pada aplikasi waktu solat.Perkara seperti ini cenderung berlaku terutama ketika seseorang sedang berada di negara baharu dan cuba menyesuaikan diri dengan perbezaan waktu tempatan. Situasi seumpama itu turut dialami selebriti terkenal, Janna Nick, yang berkongsi pengalamannya menunaikan solat pada waktu yang salah selepas terlupa menukar lokasi pada aplikasi Muslim Pro ketika berada di luar negara."Titik terendah bila kau solat tiga hari straight dekat negara baru travel, ikut waktu yang salah sebab lupa tukar location dekat Muslim Pro. Ingatkan dia auto tukar location. Nak kena qada ke semua?" tulisnya dalam satu perkongsian di media sosial.Perkongsian tersebut sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hukum dan penyelesaian sekiranya seseorang hanya menyedari bahawa solat yang ditunaikan sebelum ini tidak mengikut waktu sebenar.Adakah solat perlu diqada satu persatu?Menjawab persoalan berkenaan, Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tampil memberikan penjelasan supaya umat Islam yang berdepan situasi sama tidak keliru atau terus berasa panik."Bayangkan kita baru sampai negara orang. Penat travel, sampai hotel terus nak solat. Kita buka aplikasi waktu solat, tengok waktu dan terus solat."Esoknya kita buat perkara yang sama. Hari keempat baru tersedar. Rupanya selama tiga hari, aplikasi masih menggunakan waktu negara lama."Persoalan ini nampak kecil, tetapi sebenarnya penting kerana solat mempunyai waktu yang telah ditetapkan," terangnya.Melancong atau mengembara bukan alasan untuk seseorang meninggalkan solat. -Gambar hiasan AIMenjelaskan lebih lanjut, ujarnya, setiap solat fardu mempunyai waktu tertentu yang wajib dipatuhi dan ia tidak boleh ditunaikan sebelum masuk waktunya.Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa, ayat 103 yang bermaksud:"Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya."Maksud mudahnya, solat perlu dilakukan selepas masuk waktunya.Disebabkan itu, jika seseorang sengaja menunaikan solat sebelum masuk waktu, perkara tersebut merupakan satu kesalahan yang serius."Imam Ibn Hajar al-Haitami menyimpulkan bahawa sengaja mengawalkan solat daripada waktunya termasuk dalam dosa besar, walaupun selepas itu solat berkenaan diqada," kongsinya.ARTIKEL BERKAITAN: Banyak sangat ‘hutang’ sampai tak ingat jumlah... Pendakwah rungkai persoalan macam mana nak qada solatNamun, bagaimana pula sekiranya seseorang benar-benar tersilap dan tidak menyedari bahawa waktu solat yang dipaparkan adalah berdasarkan lokasi lama?Menurut penjelasan itu lagi, berdasarkan perbahasan beberapa ulama, dalam keadaan tersebut, ia perlu dilihat sebagai kesilapan yang tidak disengajakan.Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/276) menyebut:"Apabila ternyata solat seseorang berlaku sebelum masuk waktu, solatnya dianggap batal dan wajib mengulanginya sama ada dia berpegang kepada keyakinannya, ijtihadnya atau taqlid."Syeikh Muhammad al-Zuhaili pula menyatakan:"Sesiapa yang meyakini perlaksanaan sembahyang terjadi sebelum waktunya, atau terjadi sebahagiannya walaupun takbiratul ihram, atau diberitahu orang yang dipercayai, dan diketahui yang demikian dalam waktu atau sebelumnya, maka wajib mengulanginya, dan jika diketahui setelah berakhir waktu, maka wajib diqadha, walaupun hilang syaratnya iaitu waktu, dan tidak ada dosa baginya kerana keuzuran."Jadi, jika seseorang bermusafir ke negara lain dan terlupa menukar lokasi pada aplikasi sehingga solat selama beberapa hari dilakukan pada waktu yang salah, jangan terus panik atau menganggap semua solat tersebut perlu diqada satu persatu.Berdasarkan fakta dan keterangan yang dikongsikan, sekiranya telah dipastikan bahawa seseorang itu benar-benar tersilap dan menunaikan solat lebih awal daripada waktunya kerana tersalah menentukan waktu, maka wajib ke atasnya menggantikan solat tersebut.Justeru, dalam situasi seperti yang dihuraikan, solat bagi hari terakhir sahaja perlu diqada semula kerana qada bagi solat hari pertama telah dilakukan pada hari kedua, manakala qada hari kedua pula telah dilakukan pada hari ketiga dan seterusnya.Kesimpulannya, terdapat perbezaan yang jelas antara sengaja dan tersilap.