GELI dan menyeramkan! Itu antara reaksi spontan majoriti masyarakat apabila terserempak dengan reptilia bernama biawak.Kehadirannya yang gemar melintas secara tiba-tiba di depan rumah, merayap di dalam parit, malah ada menceroboh halaman rumah sehingga mengundang panik. Disebabkan itu, ramai yang akan cuba menangkap dan membunuh haiwan tersebut kerana berasa terancam dengan kehadirannya.Sentimen sama turut dikongsikan seorang pengguna Threads, kellyconazole yang pernah meluahkan kebimbangan selepas melihat kelibat haiwan tersebut melintas di depan rumahnya.Bagiamanapun, wanita terbabit memberitahu suaminya memaklumkan sebenarnya kehadiran reptilia berkenaan sebenarnya mampu menjaga persekitaran dan keselamatan rumah."Baru je semalam mengadu fasal biawak selalu melintas depan rumah."Suami saya cakap, biawak penting. Biawak yang makan telur ular, jadi ular tidak akan membiak dekat kawasan rumah," katanya.Penjelasan itu bukan sekadar penyedap hati sebaliknya fungsi biawak turut disahkan saintis sebagai pelindung persekitaran.Menerusi laporan media tempatan, pakar ekologi penyu dan hidupan liar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) iaitu Dr Mohd Uzair Rusli menjelaskan biawak liar atau nama saintifiknya varanus salvator sememangnya bertindak sebagai ejen kawalan biologi semula jadi yang sangat kritikal dalam ekosistem.Menurut kajian lapangan dijalankan bersama pasukan penyelidik, diet semula jadi biawak terbukti merangkumi telur reptilia lain termasuk ular.Jelas Mohd Uzair, jika populasi biawak ini diganggu atau berkurangan, rantaian makanan akan menjadi tidak seimbang.Kesannya, populasi ular merangkumi jenis berbisa dan berbahaya akan melonjak secara mendadak sekali gus meningkatkan risiko ancaman lebih besar kepada keselamatan manusia di kawasan perumahan.