NIAT seorang lelaki yang mahu memadamkan kebakaran kecil di kebunnya bertukar menjadi pengalaman mengerikan apabila mendapati kepulan asap berkenaan sebenarnya berpunca daripada tubuh seorang lelaki yang rentung.Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah kebun di Kampung Kembur, Borong, Nusa Tenggara Timur, Indonesia, pada Rabu. Mangsa yang dikenali sebagai Petrus Jadur, 59, ditemukan oleh pemilik kebun, Aloysius Gonsa, kira-kira pukul 2.30 petang ketika lelaki itu memeriksa kebunnya.Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Manggarai Timur, Iptu Ahmad Zacky Shodri, Aloysius pada mulanya membawa air untuk memadamkan api sebelum menemui pokok koko miliknya terbakar.Saksi kemudian menemukan Petrus dalam keadaan meniarap dengan tubuh mengalami kesan terbakar. Dia bertindak memaklumkan kejadian kepada keluarga mangsa dan pihak polis.Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, polis menemukan sehelai baju-T hitam berhampiran mayat, selain kesan darah pada daun kering dan batu yang berada tidak jauh dari mangsa.Zacky berkata, kawasan berkenaan mempunyai laluan yang biasa digunakan mangsa untuk ke kebun miliknya.Pemeriksaan awal mendapati tiada objek yang secara langsung menunjukkan berlakunya unsur jenayah.Berdasarkan pemeriksaan di tempat kejadian dan pemeriksaan luaran mayat, mangsa dipercayai terjatuh akibat keadaan tanah yang curam sehingga mukanya terhantuk pada batu sebelum tubuhnya terdedah kepada api.Doktor turut menemukan kesan terbakar pada muka, dada, kedua-dua lengan bawah, bahagian kemaluan serta kedua-dua kaki mangsa.Selain itu, terdapat kecederaan pada hidung yang mengalami pendarahan aktif, manakala bentuk tulang hidung dilaporkan tidak simetri, dipercayai akibat hentakan.Bagaimanapun, polis masih belum dapat mengesahkan punca sebenar kematian mangsa atau sumber api yang menyebabkan tubuhnya terbakar.Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. -Agensi