TERPEDAYA dengan janji manis untuk mendapat wang berlipat ganda, seorang wanita akhirnya gigit jari selepas menjadi mangsa penipuan lelaki berusia 45 tahun.Akibat terlalu percaya dengan janji-janji palsu itu, mangsa terpaksa menanggung kerugian sebanyak 80 juta rupiah (kira-kira RM18,000) selepas diperdaya suspek yang berasal dari Banten, Indonesia. Ketua Perhubungan Awam Polis Daerah Mamuju, Iptu Herman Basir mengesahkan kejadian licik itu berlaku di rumah mangsa yang terletak di Kalukku, Mamuju, Sulawesi Barat pada 13 Oktober lalu.Menurut beliau, suspek meminta mangsa menyerahkan sejumlah wang tunai selain menyembelih ayam dan kambing sebagai syarat utama ritual untuk menggandakan wang berkenaan.Wang yang diserahkan itu kemudian dimasukkan ke dalam sebuah kotak khas sebelum disimpan di dalam rumah mangsa.Bagi mengaburi mata wanita berkenaan, suspek melarang keras mangsa daripada membuka kotak tersebut sehingga keesokan harinya, iaitu pada 14 Oktober.Herman menambah, suspek terus beredar dari kediaman berkenaan selepas mengingatkan mangsa supaya mematuhi syarat ritual dan menunggu sehingga waktu pagi.Namun, mangsa mula berasa curiga dan tidak sedap hati apabila suspek gagal memunculkan diri seperti yang dijanjikan.Sebaik sahaja kotak misteri itu dibuka, mangsa terkejut besar apabila mendapati semua wang simpanannya lesap, meskipun syarat menyembelih kambing dipenuhi sepenuhnya.Sedar dia ditipu bulat-bulat, mangsa terus membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa mengesan keberadaan suspek.Bertindak atas maklumat, Herman memberitahu suspek berjaya diberkas di wilayah Polewali Mandar pada Isnin lalu sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Mamuju untuk tindakan lanjut.Hasil penahanan itu, polis turut merampas beberapa barang bukti termasuk wang mainan bernilai 203 juta rupiah (kira-kira RM45,899) dipercayai digunakan untuk penipuan, minyak buhur, serta sebuah kotak terpakai.Sebagai umat Islam, kita sewajarnya menjauhi perbuatan syirik dan tidak mudah terpengaruh dengan amalan ritual yang kononnya mampu memberi kekayaan secara mudah.Sebaliknya, yakinlah bahawa rezeki itu datang daripada Allah SWT dan jauhi sebarang bentuk amalan yang boleh merosakkan akidah. -Agensi