suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

“Dapatlah RM10,000“ - Wanns Ahmad jual lensa kamera tampung hidup, tawaran makin ‘surut‘

Wanns harap diberikan tawaran lakonan yang lebih menarik selepas ini.

PELAKON dan penyanyi Wanns Ahmad mengakui berada di fasa terendah dalam karier seni apabila sudah enam bulan tidak menerima sebarang tawaran lakonan.

Wanns atau nama sebenarnya Wan Nursalam Wan Ahmad, 35, berkata situasi itu memaksanya menjual beberapa lensa kamera kesayangan bagi menyelesaikan komitmen bulanan.

Menurutnya, hasil jualan dua hingga tiga lensa kamera bernilai ribuan ringgit itu membolehkannya memperolehi kira-kira RM10,000 untuk meneruskan kehidupan.

Wanns terpaksa gadai barang peribadi untuk teruskan hidup.

"Kalau nak jujur, tahun ini memang sangat perlahan dan agak kurang tawaran. Saya terpaksa menjual lensa-lensa kesayangan saya.

"Ada dua atau tiga biji. Dapatlah duit untuk tambah perbelanjaan dan terus bertahan. Harga lensa itu pun mahal, jadi apabila dijual, Wan dapatlah sekitar RM10,000," katanya ketika dihubungi mStar.

Namun dia berharap dapat membeli semula barangan berkenaan apabila keadaan kewangan kembali stabil.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanns Ahmad dedah ramai kenalan cuba ambil kesempatan, minta buat kerja percuma

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak kejar jadi popular, status artis bukan alasan Wanns Ahmad minta ‘job’

Jelasnya, walaupun masih menerima tawaran, jumlah projek lakonan tahun ini jauh berkurangan berbanding tahun lalu apabila dia terlibat dalam satu atau dua projek sahaja.

"Kalau tahun lepas, tawaran datang bersambung-sambung. Tahun ini pula, saya hanya terlibat dalam satu atau dua projek sahaja," dedahnya.

Ujar Wanns, dia bagaimanapun masih mempunyai sumber pendapatan lain iaitu menerusi produksi kecil-kecilan yang diusahakan sendiri, termasuk penggambaran kempen dan menyediakan kru untuk produksi pihak lain.

Ada masa kita berada di atas dan ada masa kita berada di bawah.

WANNS AHMAD

PELAKON/PENYANYI

"Untuk terus bertahan, saya usahakan perkara lain. Mujurlah saya ada menjalankan produksi kecil-kecilan sendiri. Cuma, saya rindulah nak berlakon," jelasnya.

Dalam pada itu, Wanns percaya bukan dia seorang sahaja berdepan situasi seperti itu kerana perkara sama turut dialami rakan-rakan seperjuangan.

Menurutnya, turun naik dalam industri seni merupakan perkara biasa dan dia percaya setiap individu mempunyai rezeki serta waktu masing-masing.

Wanns percaya dengan rezeki yang sudah ditetapkan.

"Saya rasa perkara ini memang biasa dalam bidang kami. Ada masa kita berada di atas dan ada masa kita berada di bawah.

"Kadang-kadang Allah beri peluang kepada kita, tetapi ada masanya peluang itu diberikan kepada orang lain pula. Mungkin Allah beri kita berehat sekejap," katanya lagi.

Pada masa sama, Wanns berharap dapat keluar daripada kebiasaan dengan membawa watak yang lebih mencabar bagi membuktikan kemampuan dirinya sebagai pelakon.

Wanns mahukan watak yang lebih mencabar sebagai comeback.

Katanya, dia tidak mahu terus terikat dengan watak ringan dan komedi yang sering dibawakan sebelum ini sehingga penonton mungkin melihatnya dalam ruang lingkup sama.

"Mungkin sebelum ini orang skeptikal terhadap saya kerana saya selalu bawa watak ringan dan komedi sahaja.

"Kali ini saya nak ubah perkara itu. Saya nak bawa watak yang lebih mencabar dan mungkin selama ini orang fikir saya tak mampu membawakan watak seperti itu," kongsinya.

Sebelum ini, hantaran di Threads Wanns menjadi perhatian ramai apabila dia memaklumkan tahun ini dirinya berada di fasa surut berbeza tahun lalu.

Artikel Lain