Bendera dan replika wau bulan dipasang ketika kempen PRN Negeri Sembilan. -Foto FAIHAN GHANI/The Star
PERIKATAN Nasional (PN) menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang membatalkan pendaftaran gabungan pembangkang itu.Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan pada Khamis itu disifatkan sebagai perkembangan positif dalam usaha PN mempertahankan haknya menerusi saluran undang-undang. ARTIKEL BERKAITAN: RoS batal pendaftaran Perikatan Nasional"Alhamdulillah, kami bersyukur atas keputusan Mahkamah Tinggi hari ini (Khamis) untuk menggantung notis RoS berhubung pembatalan pendaftaran PN."Pendirian PN jelas. Kami berada pada landasan yang benar dalam mempertahankan hak melalui saluran undang-undang."Usaha pihak yang mahu memadamkan PN tidak akan mematahkan tekad kami."PN tetap teguh dan perjuangan ini akan diteruskan," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Khamis.Ahmad Samsuri turut merakamkan penghargaan kepada para penyokong PN serta pasukan perundangan yang gigih berusaha dan bersama-sama menghadapi perkara berkenaan.Susulan keputusan mahkamah itu, Ahmad Samsuri berkata, jentera pilihan raya PN perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November depan.Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis membenarkan permohonan PN untuk menggantung tindakan RoS yang membatalkan pendaftaran gabungan berkenaan, sementara menunggu semakan kehakiman diputuskan oleh mahkamah.Hakim Datuk Azizan Md Arshad dalam penghakimannya berkata terdapat keadaan luar biasa yang memerlukan penggantungan itu diberikan, mengambil kira peranan pemohon-pemohon dalam aktiviti politik yang menyentuh hak-hak sebagai anggota parti, wakil rakyat atau sebagai ahli Parlimen, seperti yang dihujahkan peguam pemohon-pemohon.