suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Dunia kerja semakin berubah, Minggu MyBakat 2026 oleh TalentCorp buka ruang anak muda teroka kemahiran dan kongsi persediaan hadapi dunia kerja

Timbalan Pengerusi TalentCorp, Mohd Khuzzan Abu Bakar, Wong, Ramanan, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia, Dr Mohd Shaharin Umar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Biruntha Mooruthi pada pelancaran Minggu MyBakat di Kuala Lumpur. — SAMUEL ONG/The Star

PERUBAHAN teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan keperluan industri yang semakin berkembang menjadikan persediaan memasuki alam pekerjaan lebih penting, khususnya bagi golongan muda yang bakal memulakan perjalanan kerjaya mereka.

Menyedari keperluan tersebut, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) menerusi penganjuran sulung Minggu MyBakat 2026 menyediakan platform yang menghubungkan rakyat Malaysia dengan peluang pembangunan kemahiran, pendedahan industri dan laluan kerjaya yang bersesuaian dengan keperluan pasaran kerja.

Berteraskan tema “Bakat Negara, Nadi Malaysia”, acara yang berlangsung di Connexion Conference & Event Centre (NEXUS), Bangsar South, Kuala Lumpur pada Khamis itu berjaya menarik kehadiran kira-kira 3,000 peserta.

Minggu MyBakat 2026 oleh TalentCorp menampilkan 65 ruang pameran serta 15 aktiviti sepanjang hari, merangkumi perkongsian industri, pembangunan kemahiran, bimbingan kerjaya dan peluang untuk berhubung secara langsung dengan majikan serta rakan ekosistem bakat negara.

Lebih daripada sekadar acara kerjaya, penganjuran ini turut mengetengahkan peranan TalentCorp sebagai penggerak ekosistem bakat negara yang menghubungkan Kerajaan, industri, institusi pendidikan dan latihan serta rakyat Malaysia bagi memastikan pembangunan bakat bergerak seiring dengan keperluan ekonomi dan pasaran pekerjaan.

Pendekatan ini turut diperkukuh melalui pengenalan Platform Indeks Kesiapsiagaan Bakat Nasional (MyTRI) dan Program Inkubasi Bakat (MyBIG), dua inisiatif yang memberi tumpuan kepada pemahaman tahap kesiapsiagaan bakat, mengenalpasti jurang kemahiran serta pembangunan laluan kemahiran dan pekerjaan berdasarkan keperluan industri.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Sri Ramanan Ramakrishnan yang menyempurnakan majlis perasmian Minggu MyBakat 2026 oleh TalentCorp, berkata pembangunan bakat perlu bergerak seiring dengan hala tuju ekonomi negara.

Ramanan berkata pembangunan bakat perlu bergerak seiring dengan hala tuju ekonomi negara.

Ramanan berkata pembangunan bakat perlu bergerak seiring dengan hala tuju ekonomi negara.

"Kita boleh membawa masuk pelaburan, teknologi dan membangunkan industri baharu. Tetapi kalau kita tidak mempunyai rakyat Malaysia dengan kemahiran yang diperlukan, kita ada masalah. 

“Kita perlu melihat lebih awal apakah pekerjaan yang akan berkembang, apakah kemahiran yang diperlukan dan bagaimana kita menyediakan rakyat Malaysia untuk merebut peluang tersebut," ujarnya.

Tambah Ramanan, TalentCorp sebagai agensi strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) turut membantu Kerajaan memahami keperluan bakat negara, menjangka perubahan pasaran kerja dan memastikan pembangunan bakat sentiasa selari dengan keperluan ekonomi dan industri.

Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, Elizabeth Wong, pula berkata kekuatan TalentCorp terletak pada keupayaannya menghubungkan keperluan ekonomi dengan pembangunan bakat, industri dengan institusi pendidikan dan latihan, serta rakyat Malaysia dengan peluang kerjaya.

Beliau berkata asas yang dibina sepanjang 15 tahun membolehkan TalentCorp terus memperkukuh peranannya dalam ekosistem bakat negara.

100 wanita akan mengikuti pensijilan AI bersama Yayasan Axiata

100 wanita akan mengikuti pensijilan AI bersama Yayasan Axiata.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Biruntha Mooruthi, berkata Minggu MyBakat mencerminkan pendekatan TalentCorp dalam memastikan pembangunan bakat negara bukan sahaja responsif terhadap perubahan pasaran pekerjaan, tetapi turut diterjemahkan kepada peluang yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia.

“Keperluan tenaga kerja sentiasa berubah. Kita perlu memahami bukan sahaja kemahiran yang diperlukan industri hari ini, tetapi juga keupayaan yang perlu dibangunkan untuk masa hadapan.

“Peranan TalentCorp adalah untuk menghubungkan maklumat pasaran kerja, keperluan industri dan pembangunan kemahiran supaya rakyat Malaysia mempunyai laluan yang lebih jelas untuk membina dan mengembangkan kerjaya mereka,” katanya.

Menurut Biruntha, pendekatan tersebut turut mengambil kira keperluan rakyat Malaysia pada peringkat kerjaya yang berbeza, sama ada mereka baru memasuki alam pekerjaan, meningkatkan kemahiran, kembali bekerja atau meneroka perubahan kerjaya.

“Setiap individu mempunyai perjalanan kerjaya yang berbeza. Apa yang penting adalah memastikan mereka mendapat akses kepada maklumat, peluang dan sokongan yang bersesuaian untuk membuat keputusan kerjaya dengan lebih yakin,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pengenalan MyTRI dan MyBIG merupakan antara langkah TalentCorp untuk memperkukuh pembangunan bakat yang lebih berpandukan data dan diterajui keperluan industri.

“MyTRI membantu kita memahami tahap kesiapsiagaan bakat dan mengenal pasti jurang kemahiran, manakala MyBIG memberi tumpuan kepada pembangunan laluan kemahiran dan pekerjaan bersama industri.

“Melalui kedua-dua inisiatif ini, kita mahu memastikan maklumat tentang keperluan tenaga kerja dapat diterjemahkan kepada pembangunan kemahiran yang lebih bersasar dan peluang pekerjaan yang relevan,” katanya.

Biruntha berkata kerjasama dengan industri, institusi pendidikan dan latihan serta rakan ekosistem merupakan elemen penting dalam memastikan usaha pembangunan bakat menghasilkan manfaat kepada rakyat Malaysia.

“Pembangunan bakat tidak boleh dilaksanakan secara berasingan. Kita perlu memastikan latihan dan pembangunan kemahiran mempunyai hubungan yang jelas dengan keperluan sebenar industri.

“Bagi TalentCorp, Minggu MyBakat bukan sekadar acara kerjaya. Ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menghubungkan potensi, kemahiran dan peluang, supaya lebih ramai rakyat Malaysia dapat bersedia menghadapi perubahan dunia pekerjaan dan terus maju dalam kerjaya masing-masing,” katanya.

Apa yang anak muda perlu tahu untuk bersedia?

Bagi golongan muda yang bakal menamatkan pengajian dan melangkah ke alam pekerjaan, persediaan kerjaya kini bukan lagi hanya bergantung pada kelayakan akademik, tetapi turut melibatkan penguasaan kemahiran, kebolehan menyesuaikan diri serta pemahaman terhadap keperluan industri.

Perubahan teknologi dan penggunaan AI turut mempengaruhi cara pekerjaan dilaksanakan, sekali gus menjadikan pembelajaran berterusan dan pendedahan kepada dunia industri semakin penting.

Minggu MyBakat 2026 oleh TalentCorp membuka ruang kepada pengunjung untuk mengenali potensi diri, meneroka kemahiran baharu dan memahami keperluan industri yang sentiasa berkembang.

Minggu MyBakat 2026 oleh TalentCorp membuka ruang kepada pengunjung untuk mengenali potensi diri, meneroka kemahiran baharu dan memahami keperluan industri yang sentiasa berkembang.

Melalui Minggu MyBakat 2026 oleh TalentCorp, golongan muda berpeluang meneroka pelbagai sesi berkaitan perancangan kerjaya, bidang STEM, AI, kemahiran masa depan, bimbingan kerjaya serta latihan industri.

Penganjuran ini memberi ruang kepada mereka untuk bukan sahaja memahami peluang pekerjaan yang tersedia, tetapi juga mengenal pasti kemahiran yang perlu dipertingkatkan bagi mempersiapkan diri menghadapi keperluan dunia pekerjaan.

Muhammad Irfan berpendapat anak muda perlu menguasai teknologi AI.

Muhammad Irfan berpendapat anak muda perlu menguasai teknologi AI.

Bagi pelajar jurusan Sains (Analisis Data) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Tengku Fatimah Zahrah Tengku Su Iskandar, 21, kemahiran komunikasi dan penguasaan teknologi antara persediaan penting yang perlu diasah sebelum terjun ke dunia pekerjaan.

"Kita perlu mengasah kemahiran. Untuk bidang saya misalnya, ada beberapa perisian berkaitan yang perlu dikuasai. Dengan cara ini, kita akan bersedia apabila diminta melakukan sebarang tugasan di tempat kerja nanti. 

"Satu lagi adalah kemahiran komunikasi. Kita kena sentiasa kena berkomunikasi apabila masuk industri nanti. Kita juga kena ada mindset untuk terus belajar, bukannya terus tak nak mencuba sesuatu yang kita tak tahu," ujarnya.

Bagi Muhammad Irfan Ihsan Abdul Wahab, yang menuntut dalam bidang Teknologi Komputer (Sistem) di ADTEC JTM Kampus Kuala Lumpur @ILPKL, penguasaan AI juga sangat penting dalam mendepani perubahan landskap dunia pekerjaan pada masa kini.

"Sekarang dunia semakin maju, anak-anak muda kena belajar mengenai AI. Mungkin separuh pekerjaan akan diambil alih oleh AI, separuh lagi dilakukan oleh manusia. 

"Dalam program hari ini, saya dapat melawat pelbagai pameran dan mendapatkan informasi tentang pekerjaan," ujar remaja berusia 19 tahun itu.

Mahassweta berkata penganjuran Minggu MyBakat 2026 membuka ruang untuk anak muda meneroka peluang kerjaya masa depan.

Mahassweta berkata penganjuran Minggu MyBakat 2026 membuka ruang untuk anak muda meneroka peluang kerjaya masa depan.

Dalam pada itu, seorang lagi pelajar tahun ketiga UMT, Mahassweta Karuna Murthi, 21, turut mengakui kepentingan menguasai teknologi terkini sebelum anak muda melangkah ke alam pekerjaan.

"Saya rasa persediaan paling utama adalah keyakinan diri, kita tak patut takut untuk melangkah ke depan. Kita juga kena pandai berkomunikasi untuk menyampaikan tentang pengalaman serta cabaran yang dilalui.

"Saya juga melihat AI yang sedang berkembang pesat dalam generasi ini. Jadi, saya rasa semua orang sekurang-kurangnya kena ada pendedahan mengenai AI supaya tidak ketinggalan," ujarnya.

Mengulas mengenai Minggu MyBakat 2026 oleh TalentCorp, gadis dari Klang, Selangor itu turut menyambut baik penganjurannya, sekali gus memberi pendedahan serta peluang untuk golongan muda meneroka pasaran kerja yang ditawarkan.

"Saya tahu mengenai program ini melalui pihak universiti. Saya dan seluruh rakan sekelas datang. Saya menjangkakan banyak peluang pekerjaan dan latihan industri di sini. Saya rasa ia pendedahan yang bagus kepada generasi muda untuk tahu peluang kerjaya yang ada di luar sana," ujarnya lagi.

Melalui pendekatan yang menghubungkan maklumat pasaran tenaga kerja, keperluan industri dan pembangunan kemahiran, Minggu MyBakat 2026 mencerminkan usaha TalentCorp untuk membantu rakyat Malaysia memahami potensi diri, membina keupayaan serta meneroka laluan kerjaya yang bersesuaian dengan perubahan dunia pekerjaan.

 

Artikel Lain