POLIS sudah merakam keterangan empat individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bahawa beliau dipaksa menandatangani dokumen pengisytiharan berkaitan Yang di-Pertuan Besar negeri berkenaan.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kertas siasatan kes tersebut telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 29 September lalu dan polis kini menunggu arahan lanjut. Saifuddin memaklumkan perkara itu menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu, bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin mengenai status terkini siasatan terhadap laporan polis yang dibuat Ismail pada 8 September sekitar pukul 6 petang."Sebarang tindakan dan siasatan lanjut oleh pihak polis adalah tertakluk kepada penelitian serta arahan AGC," katanya.Ismail sebelum ini membuat laporan polis selepas mendakwa beliau menandatangani dokumen pengisytiharan berkenaan tanpa kerelaan dan dalam keadaan tertekan akibat paksaan.Dokumen itu dikaitkan dengan pengisytiharan membabitkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.Dalam jawapan sama, Kementerian Dalam Negeri memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara profesional, telus dan mengikut undang-undang tanpa memihak kepada mana-mana pihak.Kes tersebut merupakan sebahagian daripada pertikaian berhubung pengisytiharan pada 19 April lalu, apabila empat Undang mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz serta mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.Pada 15 Oktober, Dewan Keadilan dan Undang bersama setiausahanya memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ismail, 10 bekas ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan enam individu lain berhubung pertikaian tersebut.Permohonan itu mendakwa mereka bertindak melanggar perintah injunksi interim yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Seremban pada 5 Jun lalu.Pengurusan kes ditetapkan pada 17 November ini. -The Star