SEMUA penjawat awam diarah menghentikan penggunaan aplikasi navigasi Waze berkuat kuasa serta-merta.Arahan itu dibuat menerusi pemakluman rasmi oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bertarikh 20 Oktober 2026. Keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Selasa."JKSN memutuskan berhubung dengan larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze yang berpangkalan di Israel dalam kalangan anggota perkhidmatan awam," demikian menurut pemakluman terbabit.Menerusi pemakluman rasmi itu juga, setiap Ketua Setiausaha (KSU) kementerian dan Ketua Jabatan perlu memastikan keputusan terbabit dimaklumkan kepada semua pegawai agensi dan jabatan di bawah seliaan masing-masing.Shamsul Azri berkata, sebarang pertanyaan atau keperluan penjelasan lanjut berhubung pelaksanaan arahan berkenaan boleh dikemukakan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku agensi penyelaras bagi tindakan itu.Perdana Menteri pada Selasa dilaporkan berkata, kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi tempatan TuJu, yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai alternatif bagi keperluan navigasi jalan raya.Beliau dilaporkan berkata, langkah alternatif itu dicadangkan berikutan risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi Waze yang terikat di bawah undang-undang kerajaan Israel.Katanya, usaha itu penting bagi memastikan pendigitalan perkhidmatan awam terus memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengabaikan keselamatan, kepercayaan dan kedaulatan negara.