suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Membina komuniti mesra alam melalui pendidikan biodiversiti

Musang pulut bergigi kecil yang kelihatan di KL East Park, memberikan gambaran tentang kepelbagaian biodiversiti bandar yang terdapat di dalam kawasan perbandaran tersebut. Gambar ini dirakam oleh ahli ekologi Sime Darby Property, Izereen Mukri.

MUNGKIN ramai dalam kalangan kita merasakan sudah cukup mengenali alam semula jadi.

Misalnya, tahu menghargai kehijauan pepohon, mendengar kicauan burung dan melihat pelbagai hidupan liar menerusi dokumentari di televisyen.

Namun di sebalik keindahan berkenaan, tersembunyi satu jaringan ekologi yang kompleks dan saling berkait yang tidak semestinya difahami oleh semua orang.

Hakikatnya, meskipun kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar semakin meningkat, tahap pemahaman sebenar masyarakat mengenai biodiversiti masih menjadi persoalan.

Kajian Asas Pemuliharaan Biodiversiti yang dirujuk dalam Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (NPBD) 2022–2030 mendedahkan satu fakta yang cukup mengejutkan.

Berdasarkan tinjauan yang dijalankan terhadap orang awam, sebanyak 64 peratus daripada mereka pernah mendengar tentang biodiversiti, namun hanya sembilan peratus mempunyai pemahaman asas atau lanjutan mengenainya.

Angka itu menunjukkan bahawa mengenali sesuatu istilah tidak semestinya bermakna kita benar-benar memahami maksud, kepentingan dan cara memeliharanya.

Kekurangan pengetahuan mengenai biodiversiti, termasuk kepentingannya serta kaedah pengurusan yang betul, terus menjadi antara cabaran utama dalam usaha pemuliharaan alam semula jadi di Malaysia.

Seiring dengan perkembangan urbanisasi di negara ini, masyarakat perlu melangkaui pemahaman cetek mengenai alam sekitar dan mula memahami peranan mereka dalam memastikan keseimbangan ekosistem terus terpelihara.

Ini kerana tindakan yang dilakukan dengan niat baik sekalipun boleh membawa kesan buruk sekiranya tidak disertai pengetahuan yang betul.

Sebagai contoh, membersihkan kawasan kejiranan dengan menebang atau mencantas tumbuhan mungkin memusnahkan habitat penting bagi serangga pendebunga.

Begitu juga tindakan melepaskan ikan peliharaan bukan spesies tempatan ke dalam tasik, yang mana ia boleh mengganggu rantaian makanan akuatik serta mengancam keseimbangan ekosistem.

Justeru, pendidikan biodiversiti bukan sekadar mengajar masyarakat menghargai keindahan alam, sebaliknya membekalkan pengetahuan untuk memahami, menghormati dan melindungi kehidupan yang wujud di sekeliling mereka.

Menyedari kepentingan tersebut, Sime Darby Property Bhd terus berusaha merapatkan jurang pengetahuan masyarakat dengan menerapkan elemen biodiversiti bandar dalam perancangan induk, reka bentuk dan pelaksanaan pembangunan di kawasan perbandarannya.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan Sime Darby Property Berhad, Datuk Lai Shu Wei berkata, pembangunan perbandaran mampan semestinya menekankan aspek hubungan masyarakat dengan alam sekitar.

"Di Sime Darby Property, pendekatan kami terhadap pembangunan perbandaran mampan melangkaui persekitaran binaan. Kami percaya komuniti yang berkembang maju ialah komuniti yang mempunyai hubungan erat dengan persekitaran mereka serta memahami peranan yang boleh dimainkan dalam melindunginya," katanya.

Menurut beliau, elemen hijau tidak seharusnya dianggap sebagai pelengkap semata-mata, sebaliknya perlu dirancang dan diterapkan secara sistematik serta boleh diukur dalam pembangunan.

Melalui perancangan dan pembinaan yang mengambil kira keperluan alam semula jadi, ekosistem diberikan ruang untuk berfungsi dengan baik, sekali gus membolehkan penduduk menikmati manfaatnya dalam kehidupan seharian.

Bagaimanapun, menetap berdekatan kawasan hijau sahaja tidak mencukupi. 

Masyarakat juga perlu mengetahui cara yang betul untuk menjaga dan melindungi persekitaran tersebut.

Atas komitmen itu, Sime Darby Property Berhad melancarkan kempen biodiversiti bandar yang menggabungkan aktiviti pendidikan dengan pengalaman praktikal secara langsung dalam komuniti.

Menerusi inisiatif Know Your Naturehood, kempen itu bertujuan mendekatkan penduduk dengan alam semula jadi di kawasan tempat tinggal mereka, sekali gus mengubah pengetahuan kepada tindakan yang lebih bermakna.

"Kami berharap kempen Know Your Naturehood dapat meningkatkan kesedaran lebih mendalam dan penghargaan terhadap biodiversiti dalam perbandaran kami, seterusnya mendorong masyarakat menjadi penjaga alam sekitar yang lebih bertanggungjawab serta menggalakkan tindakan bersama untuk melindungi alam semula jadi demi generasi akan datang," kata Lai.

Aktiviti pertanian bandar yang pernah dianjurkan di Bandar Bukit Raja Wetland Townpark, Klang, mencerminkan usaha untuk melibatkan komuniti dalam aktiviti berkaitan alam semula jadi. –Foto ihsan Sime Darby Property.

Aktiviti pertanian bandar yang pernah dianjurkan di Bandar Bukit Raja Wetland Townpark, Klang, mencerminkan usaha untuk melibatkan komuniti dalam aktiviti berkaitan alam semula jadi. –Foto ihsan Sime Darby Property.

Bersatu dengan alam semula jadi

Berlangsung dari 24 Oktober 2026 hingga 17 Januari 2027, kempen ini menampilkan pelbagai aktiviti mesra keluarga yang mengajak penduduk dan komuniti setempat meneroka kekayaan biodiversiti di kawasan pembangunan Sime Darby Property.

Tidak sekadar memerhati alam dari jauh, peserta berpeluang mendekati ekosistem menerusi pengalaman berpandu yang membolehkan mereka belajar secara langsung.

Bagi peminat burung dan mereka yang baru ingin berjinak-jinak dengan aktiviti seumpamanya, kempen ini menawarkan lapan sesi penerokaan burung yang dikendalikan oleh Nature Sustainable Ecosystem Society (NEST).

Peserta akan dibimbing untuk mempelajari cara mengesan, mengenal pasti dan merekod spesies burung tempatan di taman serta kawasan perbandaran terpilih.

Bimbingan pakar NEST bukan sahaja membantu meningkatkan kemahiran pemerhatian peserta, malah memberi pendedahan tentang peranan taman perbandaran sebagai kawasan perlindungan penting bagi biodiversiti.

Sementara itu, pengalaman berbeza menanti pengunjung di KL East Park menerusi aktiviti berjalan kaki sambil meneroka alam semula jadi.

Dengan kepakaran Georimba Solutions, peserta berpeluang mendalami ekologi hutan hujan bandar yang terletak di sepanjang Permatang Kuartza Gombak–Selangor.

Mereka juga akan mempelajari bagaimana taman berkenaan berfungsi sebagai kawasan penyerap karbon dan koridor hijau penting dalam persekitaran bandar.

Bagi mereka yang ingin menikmati pengalaman lebih unik, aktiviti berjalan malam pula membuka peluang kepada keluarga meneroka keunikan hutan hujan selepas matahari terbenam.

Pada sebelah malam pula, peserta dapat mengenali biodiversiti termasuk meneroka habitat akuatik dan memerhati serangga nokturnal deengan bimbingan fasilitator daripada AnakUmiSukaHutan serta jurugambar hidupan liar, Raiandy Ramli.

Pengalaman ini memberikan perspektif berbeza tentang kehidupan di hutan yang mungkin tidak pernah disedari ketika waktu siang.

Seekor bangau kecil yang kelihatan di Bandar Bukit Raja Wetland Townpark, Klang. Gambar ini dirakam oleh ahli ekologi Sime Darby Property, Izereen Mukri.

Seekor bangau kecil yang kelihatan di Bandar Bukit Raja Wetland Townpark, Klang. Gambar ini dirakam oleh ahli ekologi Sime Darby Property, Izereen Mukri.

Kesedaran dan pendidikan

Selain aktiviti penerokaan berpandu, kempen berkenaan turut menampilkan pelbagai program pendidikan interaktif yang menjadikan ilmu pemuliharaan lebih mudah difahami dan menarik untuk semua peringkat umur.

Antaranya adalah aktiviti perlumbaan ikan yang memperkenalkan peserta kepada kepentingan pemuliharaan ekosistem akuatik, khususnya perlindungan ikan tempatan.

Dikendalikan oleh NatureTech Resources bersama kakitangan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), aktiviti itu mencabar peserta mengenal pasti dan mengeluarkan ikan invasif dari kawasan yang ditetapkan menggunakan jaring serta perangkap.

Melalui pendekatan praktikal ini, peserta dapat memahami bagaimana kehadiran spesies ikan bukan tempatan boleh mengancam keseimbangan ekosistem dan mengapa pengurusan spesies invasif perlu dilakukan dengan betul.

Dalam pada itu, program hidup bersama hidupan liar yang dikendalikan oleh Langur Project Penang (LPP) pula memberi tumpuan kepada hubungan antara manusia dengan primat dalam persekitaran bandar yang dikongsi bersama.

Menerusi program tersebut, peserta akan didedahkan kepada cara memahami interaksi serta kepentingan tindakan masyarakat yang berpengetahuan dalam melindungi hidupan liar agar sama-sama hidup secara lebih harmoni tanpa mengabaikan keselamatan serta keperluan kedua-dua pihak.

Untuk peserta kanak-kanak pula, program WanderLab yang dianjurkan oleh Knowledge: New Old Twists (KNOTs) mengajar cara merangsang pelbagai deria, termasuk penceritaan interaktif, permainan teka-teki dan penulisan jurnal,  meneroka tekstur, bunyi dan bau hutan.

Pendekatan ini membantu mereka membina hubungan lebih dekat dengan alam semula jadi sambil memupuk rasa ingin tahu dan tanggungjawab untuk menjaganya sejak usia muda.

Selain meningkatkan kesedaran dan pengetahuan, kempen biodiversiti bandar Sime Darby Property turut menggalakkan penyertaan aktif masyarakat dalam usaha memulihkan ekosistem menerusi aktiviti penanaman pokok.

Menerusi aktiviti ini, peserta berpeluang merasai sendiri proses menghijaukan semula kawasan dan memahami bagaimana usaha kecil yang dilakukan secara bersama mampu menyumbang kepada pemulihan alam sekitar.

Pelbagai aktiviti kempen akan berlangsung di kawasan pembangunan dan lokasi terpilih Sime Darby Property di Lembah Klang, antaranya KL East Park; Kuala Lumpur Golf and Country Club; City of Elmina di Shah Alam; PARC di Subang Jaya; Bandar Bukit Raja Wetland Townpark di Klang; Serenia City di Dengkil serta Ara Damansara di Petaling Jaya.

Program turut melibatkan kawasan perbandaran di luar Lembah Klang, iaitu The Rock di Bandar Ainsdale, Taman Tasik Ujana Nilai Impian di Nilai dan Bandar Universiti Pagoh di Johor.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen dan aktiviti yang ditawarkan, layari: https://www.simedarbyproperty.com/sustainability/urbanbiodiversity/

Artikel Lain