PERTENGKARAN mengenai pesanan makanan yang lambat disiapkan bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut ditikam, manakala tiga lagi cedera dalam serangan di sebuah gerai. Mangsa dikenali sebagai Sekhar dikatakan meminta pesanan makanan berupa gulungan sayur atau veg roll dibatalkan selepas menunggu terlalu lama.Tindakannya itu bagaimanapun mencetuskan pertikaian sebelum berlaku pertengkaran dengan pemilik premis.Kejadian berlaku berhampiran tapak sambutan perayaan Durga Puja di Adityapur, India, kira-kira pukul 12.30 tengah malam Rabu.Berdasarkan laporan, mangsa yang menetap di Mango, Jamshedpur, mengunjungi lokasi berkenaan bersama seorang rakannya sebelum membuat pesanan di gerai tersebut.Bagaimanapun, pertengkaran tercetus apabila pemilik gerai didakwa mengambil masa terlalu lama untuk menyediakan makanan, menyebabkan mangsa meminta pesanannya dibatalkan.Beberapa ahli jawatankuasa sambutan Durga Puja kemudian cuba campur tangan bagi meredakan keadaan.Namun, pemilik gerai bersama pekerjanya didakwa menyerang menggunakan pisau sehingga mencederakan empat individu.Kesemua mangsa dikejarkan ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.Sekhar yang mengalami kecederaan parah kemudian dipindahkan ke Hospital Tata Main di Jamshedpur, namun meninggal dunia ketika menerima rawatan.Sementara itu, pegawai polis, Anubhav Bhardwaj berkata, kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan permusuhan peribadi. -Agensi