Cuaca ekstrem yang berlaku sejak akhir-akhir ini mendedahkan kenderaan kepada kerosakan akibat bencana seperti ribut, pokok tumbang dan banjir. -Gambar hiasan AI
KEJADIAN cuaca ekstrem yang melanda beberapa kawasan sejak kebelakangan ini sering kali mencetuskan pelbagai detik cemas.Terbaru, suasana di sebuah plaza tol di Petaling Jaya, Selangor, gempar apabila sebuah kenderaan dilihat terangkat akibat ditiup angin kencang yang membadai kawasan itu.Susulan kejadian berkenaan, orang ramai mula membangkitkan persoalan sama ada kerosakan akibat kejadian seperti itu dilindungi oleh pihak insurans atau sebaliknya. Kebimbangan itu timbul susulan peningkatan pelbagai insiden kerosakan kenderaan akibat cuaca ekstrem kebelakangan ini, termasuklah kes pokok tumbang, tanah runtuh, dan banjir kilat. Menjawab kekeliruan tersebut, seorang jurujual kenderaan tampil berkongsi maklumat penting berkaitan perlindungan insurans dalam situasi berkenaan."Tip insurans lepas ribut. Ada ribut kuat kat Damansara, sampai dua kereta terangkat. Harap semua selamat."Ramai ingat insurans komprehensif dah cover semua. Sebenarnya kalau nak claim kerosakan sebab ribut, banjir atau pokok tumbang kena ada tambahan special perils. Kalau tak ada, tuntutan tu boleh ditolak," tulisnya di media sosial.Sehubungan itu, dia menasihatkan pemilik kenderaan agar menyemak semula polisi masing-masing, sambil menjelaskan bahawa penambahan perlindungan special perils boleh dibuat pada bila-bila masa tanpa perlu menunggu tarikh pembaharuan tahunan."Sebagai maklumat tambahan, kalau kereta kena (rosak) masa ribut, ambil gambar dulu sebelum alih apa-apa. Lepas tu terus call insurans," kongsinya.Untuk rekod, special perils merupakan satu bentuk perlindungan tambahan bagi risiko bencana alam dan ia tidak termasuk dalam skop perlindungan polisi asas.Selain itu, pemilik kenderaan juga digalakkan mempertimbangkan perlindungan tambahan lain di luar skop asas seperti perlindungan cermin kenderaan, pemandu tambahan, kemalangan peribadi, liabiliti penumpang, penggantian kunci, perlindungan Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD) dan bantuan tepi jalan.