suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Sambut Maulidur Rasul bukan sekadar cuti umum... Ini 3 amalan sunat terbaik buat umat Islam raih pahala melimpah

Umat Islam digalakkan untuk melebihkan amalan sempena sambutan Maulidur Rasul. -Gambar hiasan AI

SETIAP tahun, umat Islam menyambut Maulidur Rasul pada 12 Rabiulawal bagi memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Namun sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar mengingati tarikh kelahiran Baginda, sebaliknya boleh dijadikan peluang untuk menghayati kehidupan, perjuangan, akhlak dan sunnah Rasulullah SAW.

Penghayatan terhadap sirah dan sunah Baginda juga seharusnya diteruskan dalam kehidupan seharian sebagai manifestasi rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW serta usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Justeru, hari kebesaran ini boleh dimanfaatkan sepenuhnya dengan memperbanyakkan amalan soleh yang membawa kebaikan serta mendekatkan diri kepada Pencipta.

Antara amalan yang boleh dilakukan sempena Maulidur Rasul ialah:

1. Berpuasa

Berpuasa sunat boleh dilakukan sebagai salah satu cara menghayati kelahiran Rasulullah SAW, malah amalan itu juga boleh dibuat bersama ahli keluarga.

Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Qatadah menyebut bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai puasa pada hari Isnin, lalu Baginda bersabda:

Maksudnya: Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan al-Quran kepadaku.

Amalan berpuasa juga memberi peluang kepada ahli keluarga untuk bersahur dan berbuka bersama-sama, sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan sambil melakukan ibadah.

2. Mendengar tazkirah dan ceramah mengenai sirah Nabi

Meluangkan masa menghadiri tazkirah atau ceramah berkaitan sirah Nabi Muhammad SAW juga antara cara untuk menghayati sambutan Maulidur Rasul.

Melalui pengisian seperti itu, umat Islam dapat mengenali dengan lebih dekat kehidupan, perjuangan dan akhlak Rasulullah SAW.

Ia juga dapat menyemai rasa kasih dan cinta terhadap Rasulullah SAW kerana mencintai Baginda merupakan sebahagian daripada kesempurnaan iman.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Tidak sempurna iman seseorang sehingga aku lebih dicintainya daripada bapanya, anaknya dan manusia seluruhnya.

Justeru, cuti sempena Maulidur Rasul boleh dimanfaatkan dengan menghadiri majlis ilmu atau mendengar ceramah yang berkaitan dengan sirah dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

3. Lebihkan amalan dengan berselawat

Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW merupakan antara amalan yang boleh diperbanyakkan pada bila-bila masa, termasuk ketika memperingati Maulidur Rasul.

Selain menjadi tanda kecintaan kepada Rasulullah SAW, memperbanyakkan selawat juga mempunyai ganjaran yang besar.

Perkara itu dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim apabila Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, Allah akan berselawat ke atasnya 10 kali.

Justeru, umat Islam boleh mengambil kesempatan sempena Maulidur Rasul untuk memperbanyakkan selawat sebagai tanda kasih dan penghargaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Artikel Lain

Ziana Zain dapat gelaran Datuk