KEDUDUKAN Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan diserahkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk diuruskan mengikut peraturan pentadbiran awam yang ditetapkan.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu sedang dikendalikan oleh kedua-dua pihak berkenaan. “Hal itu sedang diuruskan antara Ketua Setiausaha saya dan Ketua Setiausaha Negara.“Sebab pentadbiran awam mempunyai peraturan untuk menguruskan keadaan sedemikian,” katanya.Saifuddin berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Pendaftaran Negara (HPN) ke-78 serta peluncuran Kampung Angkat Madani (KAM) dan Sekolah Angkat Madani (SAM) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) 2026 di Kampung Melayu Sedenak, Kulai, Johor pada Sabtu.Pada Rabu lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis, Faiz Saman dan Ekmal Sofwan Dirman.Kejadian itu didakwa berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali. -The Star