suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

DUN Sarawak bubar mulai Isnin

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan pembubaran DUN pada Jumaat.

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan berkuat kuasa Isnin bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13.

Perkara itu diumumkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Jumaat.

Beliau membuat pengumuman tersebut pada sidang media khas di Kompleks Satria Pertiwi, Kuching, selepas menghadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagi memohon perkenan pembubaran DUN.

Pembubaran itu sekali gus membuka ruang kepada rakyat Sarawak untuk memberikan mandat baharu bagi menentukan kerajaan negeri bagi penggal seterusnya.

Susulan itu, notis rasmi pembubaran akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum badan itu menetapkan tarikh penting pilihan raya, termasuk penamaan calon, pengundian awal dan hari mengundi.

Untuk rekod, PRN Sarawak kali terakhir diadakan pada 18 Disember 2021 membabitkan kesemua 82 kerusi DUN.

Dalam pilihan raya itu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) meraih kemenangan besar apabila menguasai 76 kerusi, sekali gus memperoleh majoriti melebihi dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri di bawah pimpinan Abang Johari.

Daripada jumlah tersebut, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memenangi 47 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) memperoleh 13 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) meraih 11 kerusi, manakala Parti Demokratik Progresif (PDP) memenangi lima kerusi.

Baki enam kerusi pula dimenangi Parti Sarawak Bersatu (PSB) (empat kerusi) dan DAP, dua kerusi. 

PRN kali ini akan mengekalkan 82 kerusi DUN berikutan proses persempadanan bagi tambahan 17 kerusi yang diluluskan sebelum ini masih belum selesai.

Apabila pembubaran berkuat kuasa, pentadbiran GPS pimpinan Abang Johari akan meneruskan urusan kerajaan negeri sebagai kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk, selaras amalan peralihan pentadbiran selepas pembubaran DUN.

Artikel Lain