Fabrik jenis jersi ataupun pakaian harian dilarang digunakan ketika dalam kolam renang. -Gambar hiasan AI
KOLAM renang bukan sekadar memerlukan penyelenggaraan berkala, malah kebersihan dan kualiti airnya juga perlu dijaga bagi memastikan keselamatan pengunjung.Sebab itu, kebanyakan fasiliti kolam renang menetapkan peraturan tertentu termasuk melarang pengunjung memakai pakaian yang tidak sesuai ketika mandi. Pakaian seperti jersi bola sepak dan baju harian adalah dilarang sama sekali penggunaannya ketika di dalam kolam.Meskipun ada menganggap ia perkara remeh, sebenarnya terdapat beberapa faktor yang boleh menjejaskan kualiti air serta keselamatan pengguna berhubung perkara itu.Menerusi perkongsian freddy_affendi yang merupakan bekas penjaga fasiliti kolam renang, antara sebab utamanya ialah tindak balas bahan fabrik yang boleh tercetus dengan air berklorin.Menurutnya, pakaian yang bukan direka untuk aktiviti renang berisiko mengalami pelunturan warna apabila terdedah kepada klorin. "Pandangan saya yang pernah kerja jaga fasiliti melibatkan kolam ni, salah satu faktornya adalah tindak balas klorin pada material pakaian."Pakaian yang bukan untuk kegunaan kolam ni akan menyebabkan warna pada fabrik luntur dan menganggu kualiti air kolam."Mungkin kita tak nampak sangat cuma kalau dah terlalu ramai nanti air kolam tu cepat kotor dan kita cuba elakkan sebab proses mencuci kolam makan masa," ujarnya di laman Threads.Selain isu warna luntur, pemilihan pakaian ketika berenang turut berkait rapat dengan sistem penapisan dan keseimbangan kimia air.Menurut laporan portal agensi, pakaian renang lazimnya diperbuat daripada fabrik jenis lycra ataupun nilon yang ringan dan lebih sesuai digunakan ketika berenang.Sebaliknya, pakaian yang diperbuat daripada kapas pula boleh menyerap air dan bahan kimia, sekali gus berisiko melepaskan serat fabrik ke dalam kolam.Serat daripada pakaian berpotensi terkumpul dalam sistem penapisan sehingga mengganggu fungsi penapis dan meningkatkan keperluan penyelenggaraan.Pakaian berwarna atau bercorak yang tidak direka untuk aktiviti berenang juga berisiko melepaskan pewarna ke dalam air selain turut berpotensi menjejaskan keseimbangan dan kejernihan kolam.