PIHAK berkuasa Indonesia merampas 1.16 tan ketamin daripada sebuah kapal tangki di perairan Sumatera pada Jumaat.Ia sekali gus menjadi rampasan dadah besar kedua negara itu dalam tempoh dua bulan. Ketua Polis Negara Indonesia, Suyudi Ario Seto berkata, pihak risikan mula menjejaki kapal tangki MT Global 168 sejak Ogos lalu selepas menerima maklumat mengenai aktiviti mencurigakan kapal berkenaan.Menurutnya, kapal itu belayar dari Thailand melalui Laut Andaman sebelum dipintas polis dan pegawai kastam pada Selasa ketika menuju ke Pelabuhan Klang, Malaysia.Kapal yang mengibarkan bendera Mongolia itu bagaimanapun dipercayai dimiliki sebuah syarikat berpangkalan di Johor Bahru, Malaysia.Pemeriksaan di Pelabuhan Belawan, Sumatera Utara menemukan dadah jenis ketamin hidroklorida (HCL) yang disembunyikan dalam 58 guni dengan jumlah berat keseluruhan mencecah 1.16 tan.“Pasukan gabungan berjaya merampas dadah terlarang dalam bentuk ketamin HCL menerusi operasi pemeriksaan itu,” katanya kepada pemberita di Medan pada Jumaat.Seramai lapan anak kapal turut ditahan, terdiri daripada tujuh warga Indonesia dan seorang warga Taiwan.Suyudi berkata, nilai keseluruhan rampasan itu dianggarkan mencecah 3.48 trilion Rupiah (kira-kira RM785 juta).Rampasan terbaharu itu berlaku lebih dua bulan selepas pihak berkuasa Indonesia memintas sebuah kapal yang membawa 1.3 tan ketamin dari Thailand berhampiran Kepulauan Riau.Dalam kejadian terdahulu, dadah berkenaan disembunyikan di dalam 65 guni.Indonesia antara negara yang mempunyai undang-undang antidadah paling tegas di dunia, termasuk hukuman mati terhadap pengedar dadah.Bagaimanapun, negara itu mengekalkan moratorium pelaksanaan hukuman mati sejak beberapa tahun lalu.-Agensi