Keadaan di lokasi kemalangan di Lebuhraya Sultan Iskandar yang mengorbankan seorang pekerja kontraktor DBKL, awal pagi Sabtu.
SEORANG pekerja kontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) maut, manakala rakannya cedera selepas dirempuh kereta dipandu lelaki dengan bacaan alkohol 64 miligram bagi setiap 100 mililiter darah di Lebuhraya Sultan Iskandar, Kuala Lumpur pada awal pagi Sabtu.Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, kedua-dua mangsa sedang mengemas peralatan selepas selesai menjalankan kerja pemasangan papan tanda amaran di lebuh raya berkenaan. Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan berlaku di laluan dari arah Jalan Damansara menghala ke Jalan Parlimen.Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar dua pekerja yang berada di lorong kiri jalan."Salah seorang mangsa adalah penyelia berusia 28 tahun yang disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan."Seorang lagi mangsa ialah pemandu lori (penyelenggaraan) berusia 49 tahun yang mengalami kecederaan di kepala dan tangan kanan. "Mangsa masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Zamzuri berkata, kedua-dua mangsa merupakan sebahagian daripada lima pekerja yang menjalankan kerja pemasangan papan tanda amaran di bawah kontrak DBKL.Katanya, kumpulan itu turut disertai tiga pekerja warga Bangladesh, dengan kerja pemasangan bermula pada pukul 11 malam Jumaat hingga 4 pagi Sabtu.Mengulas lanjut, Zamzuri berkata, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu.Susulan kejadian itu, pemandu itu ditahan reman selama tiga hari sehingga Isnin (26 Oktober) bagi membantu siasatan.Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(b) dan Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.