Lima individu yang terbabit dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, pada Selasa.
TRAGEDI duka yang mengorbankan lima individu dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Selasa, nyata meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat.Lebih menyayat hati apabila insiden berlaku ketika mereka sedang menjalankan tanggungjawab berkhidmat kepada masyarakat serta mencari rezeki untuk keluarga. Peristiwa itu turut mengundang perhatian pendakwah dan personaliti agama, PU Amin, yang menyifatkan pemergian mangsa mempunyai kedudukan mulia di sisi Allah SWT, bagi yang beragama Islam."Meninggal dunia dalam misi menyelamatkan nyawa manusia, dalam masa mencari nafkah dan tengah bekerja boleh dimuktamadkan sebagai mati syahid. "Rohnya mulia dan dipelihara oleh Allah SWT. Semoga Allah kurniakan syurga tertinggi buat mangsa nahas helikopter ini," tulisnya dalam perkongsian di media sosial. Helikopter dinaiki lima mangsa terhempas dan terbakar berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang.Penerangan mengenai kematian yang disifatkan sebagai mati syahid turut dihuraikan dengan tuntas oleh pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus. Menurut Azhar, terdapat dua kategori mati syahid iaitu syahid dunia dan syahid akhirat.Jelas beliau, syahid dunia merujuk individu yang berperang dan mati di jalan Allah SWT, manakala syahid akhirat pula adalah satu kematian yang mana jenazah wajib dimandi, dikafan dan disembahyangkan tetapi ada pahala di akhirat kelak.ARTIKEL BERKAITAN: “Nampak lain, wajahnya berseri” - Cuti sekolah jadi kenangan terindah, ibu cerita Dr Ainul rajin masak tiap kali balik kampung"Tengok kepada jenis pekerjaannya dan jenis kematian. Mati syahid selain daripada berperang, Nabi Muhammad SAW menyebut dalam hadis, mati lemas. Contohnya ketika sedang bekerja, lemas... mati syahid. "Kedua, mati terbakar. Ketiga, penyakit taun atau penyakit dalam perut. Keempat, bekerja dan meninggal akibat ditimpa bangunan, dinding... mati syahid."Mati syahid ni mendapat pahala di akhirat, sebab kematian yang lain daripada yang lain," terang beliau. Pada Selasa, sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak.Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi FDS ketika kejadian.Lima mangsa dikenal pasti sebagai Kapten Zainol Afriq; pegawai perubatan, Dr Ainul Baroah Kamaruddin; penolong pegawai perubatan, Alexson Adit; serta dua jururawat iaitu Debra Moset serta Jessie Paya.