suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

“Nampak lain, wajahnya berseri” - Cuti sekolah jadi kenangan terindah, ibu cerita Dr Ainul rajin masak tiap kali balik kampung

Keluarga menyifatkan Dr Ainul merupakan seorang yang baik dan penyayang serta menghormati keluarga.

CUTI sekolah yang baru berlalu menjadi kenangan terakhir buat Kamarudin Salleh apabila anak perempuannya, Dr Ainul Baroah pulang bertemu keluarga di Kelantan sebelum kembali meneruskan tugas di Sarawak.

Tidak menyangka pertemuan itu menjadi yang terakhir apabila Dr Ainul, 32, merupakan antara lima yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Long Lellang, Ulu Baram pada Selasa.

Bercerita lanjut, Kamarudin, 69, berkata, anaknya seorang yang pendiam, sangat baik terhadap keluarga dan banyak membantu mereka.

"Dia macam biasa, senyum dan tidak banyak bercakap. Apabila balik, dia bersama anak-anak saudara dan keluarga," katanya kepada pemberita di kediamannya di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan pada Selasa malam.

Kamarudin berkata dia menerima berita mengenai kejadian itu daripada besannya kira-kira pukul 5 petang.

Kamarudin mendapat khabar duka mengenai kemalangan menimpa anak perempuannya itu melalui besannya. -Foto Bernama

"Dia telefon selepas sembahyang Asar dan kata ada berita buruk. Sampai dua tiga kali dia sebut berita buruk. Saya tanya berita apa, dia kata helikopter anak saya terbakar," katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.

Menurut pesara guru itu, ketika menerima berita berkenaan, keluarga masih belum mendapat pengesahan mengenai keadaan Dr Ainul sebelum menantunya menghubunginya untuk memaklumkan anak mereka disahkan meninggal dunia.

Difahamkan, Dr Ainul sudah hampir dua tahun bertugas di Hospital Miri, Sarawak selepas berkhidmat kira-kira dua tahun di Tanah Merah.

Kamarudin berkata, tugas anaknya di Sarawak turut melibatkan pemantauan pesakit di beberapa kawasan termasuk Baram, yang memerlukan perjalanan menggunakan helikopter kira-kira sekali seminggu.

Sementara itu, ibu Dr Ainul iaitu Rogayah Mohd Noor, 69, yang juga pesara guru, menyifatkan anaknya sebagai seorang yang baik, patuh dan tidak pernah menyusahkan keluarga sejak kecil.

"Dia anak yang baik. Masa balik bercuti baru-baru ini, kami nampak dia macam lain daripada biasa, wajahnya nampak berseri dan berbeza.

Lima mangsa yang terlibat dengan nahas helikopter terhempas di Long Lellang, Sarawak pada Selasa.

"Dia tidak pernah menyusahkan kami dan sejak kecil tidak pernah melawan, dia seorang anak yang patuh. Setiap kali dia balik rumah dia akan masak," katanya.

Pada Selasa, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak.

Menurut CAAM, helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi FDS ketika kejadian.

Selain Dr Ainul, empat mangsa lain dikenal pasti sebagai Kapten Zainol Afriq, penolong pegawai perubatan Alexson Adit dan dua jururawat iaitu Debra Moset serta Jessie Paya.

Artikel Lain