Azeez hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan jawatan pengerusi sebuah syarikat.
BEKAS Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan jawatan pengerusi sebuah syarikat dengan gaji RM690,000 setahun, 12 tahun lalu.Abdul Azeez, 60, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi dan minta dibicarakan. "Saya faham (pertuduhan), tuduhan itu tidak benar sama sekali dan saya mohon dibicarakan," katanya yang memakai baju ungu lokap polis dengan tangan bergari di dalam kandang tertuduh.Mengikut pertuduhan, Azeez yang ketika itu memegang jawatan sebagai Pengerusi TH didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad.Jawatan tersebut menawarkan remunerasi sebanyak RM690,000 setahun serta kemudahan sebuah kereta jenis BMW 7 Series berserta seorang pemandu tetap.Azeez didakwa mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH, Tan Sri Ismee Ismail supaya mencadangkan beliau sebagai wakil TH dalam syarikat tersebut.Selain itu, dia juga didakwa meyakinkan Ahli Lembaga TH ketika Mesyuarat Lembaga Pengarah Lembaga TH Bil. 4/2014 (309) untuk bersetuju meluluskan cadangan pelaburan sehingga RM193.5 juta.Pelaburan itu membabitkan sehingga 30 peratus daripada modal saham terbitan sedia ada Putrajaya Perdana Berhad, sebuah syarikat yang mana tertuduh didakwa mempunyai kepentingan.Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Bangunan TH, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 25 Ogos 2014.Bekas Ahli Parlimen Baling itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.Jika sabit kesalahan, Azeez boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.