ENGGAN melihat perselisihan terus menjadi bahan perdebatan, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengingatkan orang ramai agar menghormati keputusan pihak yang memilih untuk berdamai.Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 46, dipercayai membuat kenyataan berhubung isu perselisihan antara pelakon Izara Aishah dan penyanyi Indonesia, Lesti Kejora yang menjadi perhatian ramai. Kata Siti, permohonan maaf bukan satu tanda kelemahan, manakala sifat memaafkan pula tidak bermakna seseorang itu kalah.Izara sudah membuat permohonan maaf secara terbuka.“Meminta maaf tidak menjadikan seseorang itu rendah. Memaafkan pula tidak menjadikan seseorang itu kalah. Kedua-duanya memerlukan keberanian dan kebesaran hati.“Dan apabila mereka yang terlibat sendiri sudah berdamai, mungkin tugas kita bukan lagi untuk menghakimi, mengungkit atau memilih pihak. “Cukuplah kita mendoakan agar yang keruh kembali jernih, yang terluka kembali sembuh, dan silaturahim yang pernah diuji menjadi lebih baik daripada sebelumnya,” katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Suami Lesti Kejora dakwa ‘bodyguard’ tegur anak kasar... Izara Aishah beri penjelasan, mohon maaf sekali lagiARTIKEL BERKAITAN: Lesti Kejora buka mulut isu anak ditegur kasar ‘bodyguard’ Izara, harap hubungan baik dengan keluarga Siti Nurhaliza kekalSiti berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya. Dalam pada itu, Siti mengingatkan bahawa setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, selain berdepan situasi apabila emosi mengatasi pertimbangan sehingga mencetuskan salah faham.“Setiap manusia ada khilaf. Ada waktunya emosi mendahului pertimbangan, dan sebuah hubungan diuji dengan salah faham.“Namun apabila dua insan yang berselisih sudah memilih untuk saling memaafkan, di situlah seharusnya cerita itu berhenti, bukan terus dipanjangkan oleh mereka yang berada diluar,” ujarnya.Kenyataan Lesti sebelum ini dimuat naik di Threads miliknya.Tambah penyanyi lagu Kesuma itu, orang ramai juga perlu meletakkan diri dalam situasi sama kerana setiap individu mungkin melakukan kesilapan dan mengharapkan peluang untuk memperbaiki keadaan.“Kita juga tidak pernah tahu bila kita sendiri akan berada dalam keadaan yang sama, tersalah kata, tersalah faham, kemudian berharap diberi ruang untuk memperbaiki keadaan.“Yang sudah bermaafan, jangan kita adu-adukan lagi. Yang sudah berdamai, jangan kita nyalakan kembali apinya.“Semoga Allah menjaga tutur kata kita, melembutkan hati kita dan memelihara persaudaraan sesama kita kerana akhirnya, menjaga silaturahim jauh lebih indah daripada memenangkan sebuah perselisihan,” katanya.Persembahan Lesti (kiri) di Konsert Gema Bumantara Siti Nurhaliza mendapat perhatian ramai.Sebelum ini, isu berkenaan tercetus selepas Izara menerusi hantaran di Threads menegur pasukan Lesti yang didakwa bersikap kurang mesra dan memilih individu untuk bertegur sapa.Kenyataan Izara itu kemudian mendapat respons daripada suami Lesti, pelakon Rizky Billar, yang mempersoalkan dakwaan berkenaan selain mendakwa pengawal peribadi pelakon itu turut menegur anaknya dengan kasar.Lesti kemudian turut memberikan penjelasan mengenai kejadian tersebut dan memohon maaf sekiranya perkara itu menimbulkan rasa kurang selesa kepada mana-mana pihak.Untuk rekod, Lesti merupakan artis jemputan yang membuat persembahan pada Konsert Gema Bumantara Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada Sabtu lalu.