PENYANYI Indonesia, Lesti Kejora akhirnya tampil menjelaskan situasi sebenar berhubung insiden anaknya didakwa ditegur kasar oleh pengawal peribadi yang dipercayai daripada pasukan pelakon Izara Aishah.Lesti yang tidak berada di lokasi ketika kejadian berkata, dia dimaklumkan insiden itu berlaku apabila seorang petugas keselamatan melarang anaknya daripada menyentuh Izara dengan nada yang agak keras ketika ahli keluarganya mahu menghampiri Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk bergambar. “Ketika itu, anak saya sedang didukung oleh ahli keluarga saya ketika hendak bergambar bersama Datuk Siti. “Namun, ketika mereka hendak menghampiri beliau, seorang petugas keselamatan melarang anak saya daripada menyentuh kakak (panggilan Izara) dengan nada yang agak keras, mungkin disebabkan kurangnya pengetahuan mengenai perkara tersebut.Perkongsian Lesti yang dimuat naik di Threads miliknya.“Ahli keluarga saya terkejut dengan kata-kata berkenaan. Secara peribadi, saya ingin memohon maaf sekiranya kejadian itu menimbulkan rasa kurang selesa kepada mana-mana pihak,” katanya.Lesti berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads miliknya pada malam Isnin. Dalam pada itu, Lesti menegaskan bahawa dia dan individu yang hadir untuk memberikan sokongan kepadanya tidak pernah berniat untuk bersikap biadab atau tidak menghormati mana-mana pihak.Malah, penyanyi berkenaan turut meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang oleh Siti dan seluruh pasukannya untuk menjadi sebahagian daripada konsert berkenaan.ARTIKEL BERKAITAN: Suami Lesti Kejora dakwa ‘bodyguard’ tegur anak kasar... Izara Aishah beri penjelasan, mohon maaf sekali lagiARTIKEL BERKAITAN: Izara Aishah mengaku silap tegur secara terbuka, mohon maaf kepada Lesti Kejora“Saya ingin menegaskan bahawa saya mahupun individu yang hadir untuk memberikan sokongan kepada saya tidak pernah berniat untuk bersikap biadab atau tidak menghormati sesiapa.“Saya amat bersyukur dan berbangga kerana diberikan peluang istimewa oleh Datuk Siti Nurhaliza serta seluruh pasukannya untuk menjadi sebahagian daripada konsert yang begitu gah. “Berpeluang membuat persembahan bersama Datuk Siti merupakan antara impian terbesar saya dan detik yang sangat bermakna dalam perjalanan kerjaya saya. Terima kasih juga atas segala yang telah disampaikan oleh kakak,” ujarnya.Rizky sebelum ini mendakwa anaknya dilayan kasar oleh pengawal peribadi.Tambah Lesti, dia menerima insiden yang berlaku dengan hati terbuka dan menjadikannya sebagai pengajaran untuk memperbaiki diri pada masa hadapan.Dia juga berharap hubungan baik dengan Izara, Siti, keluarga serta seluruh pasukan masing-masing terus terpelihara.“Saya menerima perkara ini dengan hati terbuka sebagai pengajaran untuk terus memperbaiki diri dan menjadi insan yang lebih baik pada masa akan datang.“Saya berharap hubungan baik dan silaturahim dengan kak Izara, Datuk Siti, keluarga serta seluruh pasukan sentiasa terpelihara. Semoga kita semua dapat terus saling menyokong, menghormati dan berkongsi kebahagiaan menerusi muzik.“Sekali lagi, terima kasih dan saya memohon maaf. Semoga Allah sentiasa memelihara hubungan baik antara kita semua,” katanya.Lesti (kanan) teruja diundang menjadi artis jemputan di Konsert Gema Bumantara Siti Nurhaliza.Terdahulu, isu berkenaan tercetus selepas Izara menerusi hantaran di Threads menegur pasukan Lesti yang didakwa bersikap kurang mesra dan memilih individu untuk bertegur sapa.Malah, Izara turut mendakwa mereka hanya bersikap baik apabila berhadapan dengan individu terkenal atau orang kenamaan (VIP). Bagaimanapun, hantaran berkenaan telah dipadamkan.Kenyataan Izara itu kemudian mendapat respons daripada suami Lesti, pelakon Rizky Billar, yang mempersoalkan dakwaan berkenaan selain mendakwa pengawal peribadi pelakon itu turut menegur anaknya dengan kasar.Untuk rekod, Lesti merupakan artis jemputan yang membuat persembahan pada Konsert Gema Bumantara Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada Sabtu lalu.