BAGI kaki wayang, anda pasti perasan setiap bilik pawagam akan ada beberapa buah kerusi yang telah ditempah ataupun berstatus reserved.Lebih menghairankan, kerusi berkenaan akan kekal ditempah walaupun pada tayangan dan waktu berlainan sepanjang hari. Bukanlah satu isu besar, namun segelintir individu menghadapi sedikit kesukaran ketika proses pembelian tiket ekoran kedudukan kerusi dimahukan sudahpun ditempah tanpa sebab munasabah.Menjawab persoalan itu, Khairulnazmi yang pernah bekerja di syarikat panggung wayang sebelum ini menjelaskan faktor dan maksud tersembunyi di sebalik status 'reserved' kerusi pawagam.Katanya, ia merupakan salah satu daripada prosedur pihak pawagam sekiranya berlaku sebarang kerosakan pada kerusi lain."Berdasarkan pengalaman saya kerja pawagam sebelum ini, seat yang reserved tu dikhaskan jika seat yang dibeli oleh customer tu rosak."Jadi kami akan suruh customer pindah ke seat yang reserved itu, ini kalau hall betul-betul penuh."Tapi kalau hall masih banyak seat kosong, kami biar je customer nak duduk mana-mana yang dia suka," ujarnya di laman Threads.Penjelasan itu secara tidak langsung merungkai segala persoalan berhubung isu berbangkit yang ada kalanya mengundang pertikaian segelintir individu.Bukan sebab rosak ataupun kegagalan pada sistem tiket, perkara itu sebaliknya bertujuan untuk memudahkan urusan penonton sekiranya berdepan isu kerosakan pada kerusi.