PELAKON Siti Khadijah menganggap isu segelintir pelakon yang enggan bergandingan atau bekerjasama dengannya adalah asam garam dalam dunia seni yang tidak perlu diperbesarkan.Siti atau nama sebenarnya Siti Khadijah Abdul Halim, 29, menegaskan dia tidak merasa dirinya dipulaukan oleh rakan industri. Sebaliknya, bagi Siti ia berkemungkinan disebabkan raut wajahnya yang tampak serius membuatkan orang lain berasa segan untuk mendekati.“Benda itu sebenarnya asam garam dalam industrilah, perkara yang tidak boleh dielakkan. Ada orang suka dan tidak suka kita, itu lumrah kehidupan dan dekat mana-mana tempat kerja pun ada situasi macam itu. Siti tidak mahu memperbesarkan isu berkenaan. “Jadi apa yang boleh saya buat hanyalah terima dan melangkah ke hadapan. Kalau nak kata dipulaukan itu, bukan. Mungkin ada silap saya juga, tidak begitu membuka diri atau tidak begitu mesra.“Mungkin juga wajah saya tidak 'inviting' orang untuk datang bertegur sapa dengan saya. Tapi terpulanglah, biarlah apa yang terjadi itu berlalu dan saya pun okey dengan keadaan sekarang,” katanya kepada mStar. Ditanya mengenai tindakannya yang berani bersuara secara terbuka, Siti menjelaskan perkongsian tersebut dibuat bagi memberi semangat kepada individu lain yang sedang berdepan ujian.ARTIKEL BERKAITAN: Siti Khadijah terbuka jika berjodoh dengan Amir Ahnaf - “Allah yang pegang hati kita“ARTIKEL BERKAITAN: Siti Khadijah pilih jawapan selamat - "Kalau suka suami orang, susah pula nanti" “Saya sekadar berkongsi sebab saya tahu ramai lagi orang yang hadapi perkara sama seperti saya. Banyak mesej yang saya dapat daripada orang dalam industri sendiri yang mengadu rasa 'down' dan minta kata-kata semangat.“Jadi saya kongsikan supaya orang di luar sana tahu, kalau saya sendiri boleh hadapi dan sampai ke tahap hari ini, mereka pun boleh. Kita boleh sama-sama berjaya tanpa mengira apa sahaja yang berlaku di belakang kita,” jelasnya.Bercakap mengenai rakan karib, Siti mengakui lingkungan persahabatannya dalam kalangan penggiat seni sangat terhad memandangkan dia lebih selesa tidak mencampurkan urusan kerja dengan kehidupan peribadi.Siti lebih selesa berkawan rapat dengan rakan yang bukan dalam industri. “Kawan-kawan artis saya memang boleh dikira dengan jari. Mana yang selalu nampak di media sosial, itulah cara saya menghargai mereka dan saya memang tidak banyak kawan selebriti.“Saya lebih selesa begitu sebab bagi saya, rakan artis adalah teman sekerja. Kita jumpa di set penggambaran dan bila selesai kerja, kita balik rumah. Kalau ada rezeki bawa ke fasa persahabatan di luar set, itu pun bagus.“Kawan-kawan rapat saya yang sebenar adalah kawan dari sekolah rendah, kawan sejak kecil dan kawan-kawan taman perumahan,” ujarnya.