suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

70,000 peminat Siti ‘restui‘ Konsert Tradisional Gema Bumantara dalam hujan

Siti tetap bertenaga sepanjang konsert.

HUJAN renyai yang membasahi bumi malam Sabtu tidak menggugat Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, tampil dengan Konsert Tradisional Gema Bumantara yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Konsert yang menghimpunkan kira-kira 70,000 penonton itu berlangsung meriah dengan kehadiran berbilang peminat yang segak dan anggun mengenakan busana tradisional, bersesuaian dengan tema persembahan.

Memulakan persembahan tepat pukul 8.30 malam, Siti membuka tirai konsert dengan aksi silat penuh bertenaga sebelum mendendangkan lagu Mahligai Permata.

Peminat tetap setia dengan berbaju hujan.

Penyanyi itu turut meluahkan rasa terharu melihat kesetiaan peminat yang tetap hadir memberikan sokongan biarpun terpaksa berdepan cuaca hujan.

"Saya minta maaf, kita merancang, Tuhan yang menentukan. Saya tak boleh tahan ujian, tetapi apabila hujan, sejuklah sedikit daripada berpanas. Saya lihat semua berponco (berbaju hujan).

"Bukan selalu konsert dalam hujan. Ini sejarah untuk saya dan kita semua. Saya sebenarnya terharu.

"Selepas sembilan bulan, akhirnya impian untuk mengadakan konsert tradisional di stadium terbesar menjadi kenyataan. Pada ketika konsert Legacy 30 itu, saya main cakap saja," katanya.

Hujan dilaporkan mula berhenti kira-kira dua jam selepas persembahan bermula.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Siti Nurhaliza tak cadang tarik diri daripada AIM, ada sebab enggan ikut jejak AJL dan ABP

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza tahan sebak, kongsi momen kucupan terakhir buat Tun Siti Hasmah

Berlangsung selama kira-kira tiga jam 30 minit, konsert itu menampilkan keindahan irama tradisional menerusi gabungan elemen muzik klasik dan moden dengan iringan Leman Band serta Orkestra Istana Budaya.

Antara lagu yang dipersembahkan ialah Joget Kasih Tak Sudah, Musalmah Manis, Mohon Kasih, Hati Yang Rindu, Badarsila dan Di Taman Teman.

Persembahan turut diserikan dengan kemunculan pelakon Izara Aishah ketika Siti menyampaikan lagu Walinong Sari, diikuti Bintang Malam dan Jenjang Cinta.

Pelakon Zariff Ghazzi juga mencuri perhatian apabila mengayuh beca ketika Siti mendendangkan lagu Kurik Kundi selepas menyampaikan Masri Manis.

Haziq dan Lesti turut memeriahkan suasana.

Siti turut berkongsi pengalaman terjatuh ketika menjalani latihan permainan tradisional lompat tali sehingga menyebabkan wajahnya bengkak beberapa hari sebelum konsert berlangsung.

Sepanjang konsert malam tadi, Siti mempersembahkan lebih 30 lagu selain menampilkan empat artis jemputan yang memeriahkan pentas.

Antaranya ialah Haziq Rosebi yang mendendangkan lagu Hati Ke Hati, Zapin Bunga Hutan dan Bergendang Dang Gong.

Konsert itu turut menyaksikan kemunculan dua artis Indonesia, King Nassar dan Lesti Kejora, yang masing-masing menghiburkan penonton menerusi beberapa lagu termasuk Ikan Dalam Kolam, Seperti Mati Lampu, Pandang Jeling, Kumbang Bunga dan Zapin Melayu.

Zariff kayuh beca untuk Siti jadi perhatian.

Bagaimanapun, antara momen paling dinantikan ialah kemunculan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris, yang kembali sepentas dengan Siti selepas 26 tahun.

Gandingan mereka menerusi lagu Dondang Dendang dan Hati Kama menggamatkan suasana stadium.

Mengambil kesempatan itu, Noraniza turut menitipkan pesanan kepada Siti agar terus memperjuangkan irama Malaysia dan memperkenalkan genre itu kepada generasi muda.

"Jangan berhenti dan teruskan legasi irama Malaysia. Kita teruskan dan jangan berhenti," katanya.

Gandingan Siti dan Noraniza tidak mengecewakan peminat.

Suasana turut bertukar sayu apabila Siti menyampaikan lagu Pesanan Buat Diri yang didedikasikan khas buat Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah dan dia dilihat tidak dapat menahan air mata ketika menyampaikan lagu tersebut.

Menjelang penghujung konsert, Siti menghadiahkan tiga lagu ikoniknya iaitu Ya Maulai, Balqis dan Cindai, sekali gus membuatkan penonton rancak berzapin dan berjoget meskipun masih basah akibat hujan.

Konsert penuh warna-warni itu turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang meluangkan masa menonton.

Siti turut menegaskan irama tradisional Malaysia mempunyai keistimewaan tersendiri dan mampu berdiri sama tinggi dengan muzik dari luar negara.

"Inilah yang saya mahu tonjolkan. Irama tradisional kita tidak kalah dengan irama luar negara yang datang kerana irama tradisional kita juga hebat untuk dipentaskan," ujarnya kepada Perdana Menteri.

Selain itu, beberapa rakan artis termasuk Hael Husaini, Dayang Nurfaizah, Aina Abdul, Wani Kayrie, Afieq Syazwan, Hafiz Hamidun dan Bob Yusof turut kelihatan hadir tanda sokongan.

Artikel Lain

Bersama rehatkan Nik Nazmi 3 bulan