LAUNGAN bantahan terhadap kos sara hidup dan pelbagai isu lain di Perancis bertukar kecoh apabila demonstrasi besar-besaran yang disertai kira-kira 550,000 orang dicemari insiden keganasan serta kegiatan merompak premis perniagaan.Kejadian pada Sabtu itu menyaksikan kira-kira 400 penunjuk perasaan ditahan, manakala 60 anggota pasukan keselamatan mengalami kecederaan ketika mengawal keadaan. Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nunez berkata, demonstrasi yang berlangsung di beberapa bandar seluruh negara itu turut menyaksikan serangan terhadap bangunan kerajaan, balai polis dan premis perniagaan.Menurutnya, terdapat juga cubaan menceroboh bangunan dewan bandar raya di Marseille, Lille, Calais dan Angers, selain beberapa tindakan menyasarkan pejabat pentadbiran kerajaan di Bordeaux.Beliau turut mendedahkan terdapat individu tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan terhadap kekecohan tersebut untuk memecah masuk dan merompak kedai di beberapa bandar.Difahamkan, demonstrasi berkenaan disertai pelbagai kumpulan termasuk petani, aktivis alam sekitar, kesatuan sekerja dan pelajar yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap harga bahan api, peningkatan kos sara hidup, pendidikan serta perkhidmatan awam.Situasi tegang itu turut menyebabkan gangguan besar terhadap sistem pengangkutan awam, khususnya di Paris apabila lebih 10 laluan tren metro terpaksa digantung sementara, selain beberapa stesen ditutup.Malah, operasi beberapa lokasi pelancongan terkenal turut terjejas apabila Muzium Louvre mengehadkan jumlah pengunjung, manakala Muzium Orangerie hanya membenarkan kemasukan individu yang mempunyai tempahan.Sementara itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengecam tindakan ganas yang berlaku dan menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kemusnahan harta benda.Menerusi hantaran di platform X, beliau memberi amaran bahawa individu yang menyerang pejabat kerajaan, premis perniagaan dan merompak bangunan pentadbiran akan berdepan tindakan undang-undang.Macron turut menyatakan sokongan kepada anggota penguat kuasa yang bertugas, sambil menegaskan bahawa keganasan tidak boleh dijadikan alasan untuk menyuarakan bantahan.Katanya, kerajaan akan terus mempertahankan institusi negara daripada pihak yang sengaja mencetuskan kekacauan sehingga menghalang orang ramai menyuarakan rasa tidak puas hati secara aman. -Agensi